SHAH ALAM, 26 OKT: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut dalam nahas membabitkan tiga motosikal di Kilometer 21 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) arah ke Klang, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS150R dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di tengah jalan dalam kejadian jam 3.35 pagi itu.
“Mangsa tercampak ke lorong kanan sebelum dirempuh dua motosikal lain yang datang dari arah sama.
"Dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi penunggang motosikal yang dipercayai terlibat melarikan diri sejurus kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dua penunggang terbabit belum dikenal pasti dan dipercayai berlumba ketika kejadian.
"Saksi kejadian diminta tampi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.




