ad

Khairat Darul Ehsan: Lebih 91,000 individu kemas kini maklumat sejak Jun

26 Okt 2025, 10:35 AM
Khairat Darul Ehsan: Lebih 91,000 individu kemas kini maklumat sejak Jun
Khairat Darul Ehsan: Lebih 91,000 individu kemas kini maklumat sejak Jun
Khairat Darul Ehsan: Lebih 91,000 individu kemas kini maklumat sejak Jun

SHAH ALAM, 26 OKT: Seramai 91,197 individu telah mengemas kini maklumat permohonan Skim Khairat Darul Ehsan (KDE) sejak dibuka pada Jun hingga September lalu.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata dalam tempoh sama sebanyak 1,473 tuntutan berjumlah RM1,000 setiap satu telah diterima di bawah inisiatif berkenaan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“KDE merupakan inisiatif baharu Kerajaan Negeri yang menggabungkan manfaat khairat kematian daripada skim lama.

"Pemohon yang berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Iltizam Selangor Sihat (ISS) perlu mengemas kini maklumat melalui portal Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sejak 5 Mei,” katanya kepada Media Selangor.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri membuka permohonan baharu KDE mulai 1 Jun hingga 31 Disember tahun ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat skim tersebut.

Anfaal memberitahu, hebahan mengenai KDE turut dibuat secara khidmat pesanan ringkas pukal selain promosi melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri semasa program penyerahan baucar SMUE.

“Kita galakkan orang ramai sama ada mengemas kini maklumat atau membuat permohonan baharu supaya tidak terlepas peluang menerima manfaat KDE,” jelasnya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2025, Kerajaan Negeri memperuntuk RM20 juta bagi menjayakan skim KDE yang dijangka memberi manfaat kepada 20,000 penerima.

Bantuan khairat kematian warga emas menerusi SMUE pernah dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021 dengan peruntukan RM7.5 juta, membolehkan waris berdaftar menerima RM500.

Skim KDE yang ditambah baik kini menawarkan pampasan lebih tinggi serta liputan kumpulan sasaran lebih luas, seiring usaha Kerajaan Negeri memartabatkan kebajikan rakyat Selangor.

Permohonan baharu atau kemas kini maklumat boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal kde.yawas.com.my

.