GOMBAK, 26 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berhasrat memperluas capaian bantuan pendidikan tahun depan bagi memastikan lebih ramai pelajar menerima manfaat daripada inisiatif Kerajaan Negeri.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya yakin Belanjawan Selangor 2026 akan terus memberi tumpuan besar kepada sektor pendidikan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya yang menekankan agenda pembangunan insan.

“Pendidikan kita ada pelbagai. Program Tuisyen Rakyat Selangor, ‘Back to School’, pemberian peranti kepada mahasiswa dan pelbagai lagi inisiatif.
”Kita bekerjasama dengan Kerajaan Negeri melalui stanco pendidikan untuk libat urus bersama bagi memberi impak lebih baik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya sedang mengenal pasti kelompok pelajar yang belum pernah menerima manfaat bantuan pendidikan negeri untuk disantuni pada tahun depan.
“Saya yakin dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga sudah beri bayangan bahawa pendidikan akan terima peruntukan besar tahun depan.
“Umpamanya, ada sektor yang belum kita santuni seperti pelajar tingkatan enam dan politeknik. Itu antara kumpulan yang akan diberi keutamaan supaya mereka turut merasai manfaat bantuan pendidikan Yayasan MBI,” katanya.
Ahmad Azri berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan pelbagai bentuk sumbangan Yayasan MBI di Dewan Komuniti Kampung Wira Damai, di sini hari ini.

Dalam Belanjawan Selangor 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM96.4 juta bagi sektor pendidikan, termasuk bantuan kewangan, program latihan kemahiran dan penyediaan kemudahan pembelajaran.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Belanjawan Selangor 2026 bakal menumpukan pelaksanaan program baharu berteras pendidikan dan pembasmian kemiskinan bagi memastikan rakyat terus maju seiring dengan pembangunan negeri.





