SHAH ALAM, 27 OKT: Semua pihak dalam institusi pendidikan termasuk guru, pembuat dasar serta institusi latihan perguruan perlu memikul tanggungjawab pelaksanaan reformasi pendidikan, kata Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Gesaan itu dibuat susulan pelbagai kes jenayah berat dan ganas melibatkan pelajar sekolah di seluruh Malaysia baru-baru ini, yang mencetuskan desakan pelbagai pihak supaya reformasi sistem pendidikan dilakukan segera.
Tegas Prof Shamsul, sistem pendidikan yang berkesan mesti dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada murid atau silibus semata-mata.
"Semuanya tak boleh berpusat. Sekolah kita pelbagai jenis dan bentuk. Jadi, tak boleh longgokkan tanggungjawab kepada satu golongan saja. Ada sekolah berasrama penuh, sekolah harian, dan sekolah luar bandar.
"Pembahagian tugas ini berat dan rumit, maka peranan mesti fleksibel, tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada guru besar, guru atau murid sahaja," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Prof Shamsul yang juga pengarah pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia menambah, meskipun guru secara umumnya bersedia menerima perubahan, tidak semua mampu melaksanakannya dengan berkesan.
"Saya lihat guru sentiasa menerima, tetapi bukan semuanya mampu buat. Di sinilah pentingnya kita memilih guru yang sesuai, memahami kemampuan masing-masing dan menyusun sistem dengan bijak. Jangan anggap semua guru boleh buat semuanya," jelasnya.
Tambahnya lagi, Malaysia sebenarnya telah mempunyai pelbagai bentuk persediaan ke arah reformasi pedidikan, namun kejayaannya bergantung kepada sejauh mana pelaksanaan itu memberi manfaat sebenar kepada pelajar dan komuniti sekolah.
"Institut Pendidikan Guru (IPG) memainkan peranan penting dalam melatih guru agar dapat menguasai perkara baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan silibus serta teknologi.
"Sekarang kita nak perkenalkan kecerdasan buatan (AI) dan pendidikan digital, ada guru yang cepat menyesuaikan diri, tetapi ada juga yang perlukan masa," katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan membangunkan pangkalan data menyeluruh mengenai guru dan murid bagi memahami latar belakang serta keperluan sebenar mereka.
"Kita ada kementerian digital, tetapi apa gunanya jika kita tidak benar-benar mengenali setiap murid, setiap guru, setiap keluarga tentang apa yang mereka lalui, rekod mereka, dan bagaimana kita boleh bantu dengan lebih tepat," ujarnya.




