ad

Tidak perlu rotan, sekolah ruang mendidik, bukan menghukum

27 Okt 2025, 6:00 AM
Tidak perlu rotan, sekolah ruang mendidik, bukan menghukum

SHAH ALAM, 27 OKT: Hukuman fizikal seperti rotan tidak sepatutnya dikembalikan dalam sistem pendidikan negara, sebaliknya pendekatan yang bersifat mendidik dan membina kesedaran lebih sesuai diamalkan, kata Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

"Isunya bukan soal rotan. Soalnya ialah apakah kesalahan di sekolah memerlukan penghukuman? Saya sendiri pernah kena rotan masa sekolah rendah, tetapi sejak isu hak asasi manusia dibincangkan, konteks pelajar dan zaman juga sudah berubah," ujar Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kepada Media Selangor.

Menurut beliau, bentuk hukuman di sekolah seharusnya menumpukan kepada usaha membimbing pelajar agar sedar kesilapan mereka, bukannya menakutkan.

"Tak perlu rotan pun. Banyak cara lain, lari keliling padang tiga kali pun boleh. Yang penting mereka tahu itu sesuatu yang salah dan jangan ulang lagi," jelasnya.

Pelajar-pelajar sekolah menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand bagi memulakan sesi persekolahan pada 19 November 2024. Foto BERNAMA

Untuk konteks, kuasa merotan termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Displin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajar 1957 yang memberikan kuasa merotan kepada guru hanya kepada pelajar lelaki di sekolah dan semua hukuman perlu direkodkan.

Sehingga kini hukuman rotan tidak pernah dimansuhkan tetapi tertakluk kepada syarat-syarat lebih ketat.

Menurut surat pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan pada 2003, kuasa merotan hanya diberikan kepada pengetua, guru besar atau guru yang diberikan kuasa.

Kuasa merotan juga perlu bertujuan untuk mendisplin bukan menghukum dan menyakiti. Hukuman merotan juga tidak boleh dilakukan di khalayak seperti perhimpunan dan bilik darjah.

Prof Shamsul turut menegur sikap segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak hingga mencabar kewibawaan guru.

"Sikit-sikit pukul, nak lapor polis. Kadang-kadang perkara kecil digembar-gemburkan tanpa fikir cara yang lebih positif untuk mengingatkan anak-anak," katanya.

Perlunya pangkalan data keluarga

Prof Shamsul turut menyarankan pihak sekolah dan jabatan pendidikan negeri lebih proaktif memahami latar belakang keluarga pelajar bagi menangani isu disiplin secara menyeluruh.

"Kalau kita ada pangkalan data keluarga dan murid, kita boleh faham pola penduduk dan latar sosial mereka. Itu pengetahuan yang sangat penting," ujarnya.

Lima pelajar cemerlang Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya (dari kiri) Ahmad Khair Syazwan Abdul Kahar, Khalif Rayn Khaidhir, Nawab Mukhlis Fathanah Zakirrudin, Muhammad Akmal Basha Mustafa Kamal Basha dan Muhammad Qhalif Aiman Mohd Rasfan kelihatan ceria selepas mengambil slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 di Sekolah Sultan Alam Shah pada 24 April 2025. Foto BERNAMA

Mengulas kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah di sekolah, Prof Shamsul menjelaskan keadaan itu bukan fenomena baharu, sebaliknya mencerminkan kesedaran masyarakat yang kini lebih berani melaporkan kejadian.

"Ini yang dilaporkan, tapi saya tahu banyak lagi yang tidak dilaporkan. Dulu kononnya Malaysia aman sebab tiada kes rogol, tapi sebenarnya ada, cuma tidak dilaporkan.

"Bila masyarakat mula berani ke balai polis, laporan polis menjadi satu kebiasaan. Jadi nampak macam kes meningkat, padahal kesedaran makin tinggi," katanya.

Tambah beliau, perkembangan ini perlu dipantau dan difahami secara seimbang.

"Kalau dua tiga perkara seperti ini berlaku, bukan bermakna saya setuju ia patut berlaku. Tapi bagi saya, maklumat tentang kejadian seperti ini sebelum ini memang tidak ada.

"Melalui kaedah seperti Google survei, kita boleh dapatkan maklum balas terus daripada sekolah tentang sama ada kes jenayah pelajar berlaku atau tidak. Data ini penting kerana pihak sekolah lazimnya mempunyai rekod lengkap. Guru-guru juga tahu banyak kes kecil yang berlaku tapi tak dilaporkan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kematian seorang pelajar perempuan yang ditikam pelajar lelaki di sebuah sekolah di Bandar Utama pada 15 Oktober lalu.

Sebelum itu, seorang pelajar perempuan dirogol bergilir-gilir oleh empat pelajar lelaki di sebuah sekolah di Melaka.