SHAH ALAM, 27 OKT: Peperiksaan bukan matlamat tunggal pendidikan dan sekolah bukan ‘kilang peperiksaan’, kata Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
"Saya rasa ‘kilang peperiksaan’ itu agak kasar bunyinya. Kita sebenarnya bukan kilang peperiksaan. Peperiksaan itu menjadi penanda arah kepada apa yang kita buat dalam sekolah."
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan pelbagai pihak supaya peperiksaan dikembalikan semula susulan pelbagai kes jenayah berat berlaku melibatkan pelajar sekolah kebelakangan ini.
Malaysia memansuhkan sistem peperiksaan di sekolah rendah dan menengah kecuali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2013 dan diganti dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga yang kemudiannya dimansuhkan pada 2022.

Pada peringkat sekolah rendah, kerajaan memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2021, menggantikannya dengan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan pentaksiran bilik darjah (PBD).
Prof Shamsul turut menambah yang, pendidikan di sekolah bukan sekadar menyampaikan ilmu akademik, tetapi turut membina nilai kemanusiaan dan keperibadian pelajar melalui aktiviti kokurikulum serta interaksi sosial di luar bilik darjah.
"Kita selalu lupa, hanya lihat apa yang berlaku dalam bilik darjah. Tapi sebenarnya 50 peratus proses pembelajaran berlaku melalui kegiatan di sekolah seperti pengakap, pandu puteri dan sebagainya. Di situlah nilai dan watak pelajar dibentuk," ujarnya.
Prof Shamsul menegaskan kejayaan sistem pendidikan tidak wajar diukur semata-mata melalui keputusan akademik atau pencapaian peperiksaan.
"Kita tak boleh ambil contoh ekstrem dan terus kata sistem kita gagal. Kegagalan itu bukan hanya di sekolah, tapi juga kerana faktor persekitaran boleh jadi melibatkan keluarga, rakan, masyarakat, yang turut membentuk pelajar,” katanya.

Jelasnya lagi, setiap mata pelajaran di sekolah sebenarnya mengandungi nilai dan pengajaran tersirat yang berperanan membentuk pemikiran serta karakter pelajar.
"Rasa saya bila kita mendidik anak-anak ini, apa saja mata pelajaran baik Matematik, Sains ataupun Sejarah, tersirat di dalamnya isu atau perkara bersifat nilai dan contoh.
“Kita bincang tentang hero, jadi, pembentukan watak murid itu berkait dengan apa yang dinaratifkan kepada mereka dalam pelajaran. Tapi pelajaran itu akhirnya juga adalah ujian," katanya.
Tambah Prof Shamsul, pendidikan bukan hanya soal mengingat atau memahami, tetapi tentang menghayati nilai yang disampaikan.
"Pelajaran itu akhirnya juga adalah ujian, untuk menentukan sejauh mana pelajar berjaya mengingat, memahami dan menghayatinya.
“Tapi tak semua pelajar berjaya dengan cara yang sama. Inilah yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, kerana ramai hanya melihat sekolah sebagai tempat untuk anak mereka lulus peperiksaan," katanya.




