ad

Beban guru tidak adil, bentuk akhlak remaja tanggungjawab semua

27 Okt 2025, 2:00 AM
Beban guru tidak adil, bentuk akhlak remaja tanggungjawab semua

SHAH ALAM, 27 Okt: Guru menerima beban tidak adil jika masyarakat menganggap hanya mereka dan institusi pendidikan bertanggungjawab membentuk sahsiah pelajar, kata aktivis kanak-kanak Alina Amir.

Beliau menegaskan pembentukan akhlak merupakan proses berterusan yang memerlukan penglibatan semua pihak berikutan seorang guru hanya bersama pelajar dalam tempoh beberapa jam sehari.

Menurutnya, sikap masyarakat yang terlalu bergantung kepada sekolah atau institusi pendidikan menyebabkan peranan ibu bapa dan komuniti dalam mendidik anak-anak semakin terpinggir.

“Kita hantar anak ke sekolah dan berharap mereka pulang sebagai manusia yang sempurna. Realitinya, pelajaran paling penting tentang nilai dan moral mungkin berlaku di meja makan dalam rumah, perbualan dalam kereta, dan melalui cara orang dewasa berinteraksi antara satu sama lain.

“Jadi, anak-anak lebih banyak belajar daripada apa yang kita lakukan berbanding apa yang kita suruh mereka lakukan. Kita perlu mengubah naratif ini. Sekolah adalah rakan kongsi, bukan pengganti,” katanya kepada Media Selangor.

Dilaporkan sepanjang 2011 sehingga 2022, guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris teramai memohon untuk bersara awal, fenomena yang disifatkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) wujud kerana beban kerja dan kekurangan kemahiran digital.

Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek jumlah guru yang memohon persaraan pilihan berdasarkan enam opsyen utama tertinggi adalah Bahasa Melayu (2,862), Bahasa Inggeris (1,146), Mate­matik (1,015), Pendidikan Islam (755), Sains (629) dan Sejarah (483).

Sementara itu, Alina yang juga ketua pegawai eksekutif dan pengasas Arus Academy menyifatkan pembentukan akhlak kanak-kanak adalah kerja ‘gotong-royong’ membabitkan keluarga, komuniti dan sekolah.

Ibu bapa membawa anak-anak berkunjung ke reruai Anak Istimewa Selangor (AnIS) bagi mendapatkan maklumat program dan menyertai aktiviti yang disediakan dalam Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto Facebook Anak Istimewa Selangor - ANIS

Tegasnya lagi, peranan ibu bapa dan komuniti asas kepada segalanya dalam mendidik anak-anak sikap empati, saling menghormati dan integriti, manakala sekolah menumpukan akademik.

"Hari ini, ramai ibu bapa yang sibuk dan komuniti semakin individualistik. Hubungan ini mungkin semakin rapuh. Contoh tindakan positif yang boleh dilakukan adalah membina semula jaringan keselamatan komuniti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa insiden jenayah melibatkan pelajar sekolah yang semakin berleluasa termasuk buli, rogol dan bunuh di beberapa negeri mutakhir ini.

Kes terbaharu melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam berulang kali oleh pelajar lelaki 14 tahun di tandas sebuah sekolah di Bandar Utama.

Sebelum itu, negara digemparkan dengan kes rakaman dan rogol bergilir-gilir pelajar tingkatan tiga oleh empat pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka.