SHAH ALAM, 25 OKT: Pelaksanaan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) dan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) membantu Selangor bebas daripada gangguan bekalan air berskala besar sepanjang tahun ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak projek berkenaan dilaksana, tiada gangguan besar yang membebankan pengguna dilaporkan setakat Oktober, hasil keberkesanan strategi pengurusan air mentah negeri.
Beliau menjelaskan, kedua-dua projek itu turut memendekkan tempoh henti tugas loji rawatan air (LRA) apabila berlaku pencemaran, sekali gus memastikan bekalan air tidak terputus lama kepada pengguna.

“Dalam lapan sembilan tahun lepas, kita berdepan masalah kekurangan air. Pernah pada 2013 kita lakukan catuan air. Maka negeri bangunkan HORAS bagi menakung air hujan, supaya apabila berlaku bencana atau musim kemarau, ia dapat ditangani.
“Ketika musim panas baru-baru ini, walaupun paras empangan menurun, dasar yang kita laksana sejak 2012 dan 2013 membolehkan kita bertahan walaupun tanpa hujan selama tiga hingga sembilan bulan.
“Antara 2016 hingga 2020, kita pula berdepan isu pencemaran. Dengan adanya SJAM yang dibangunkan pada 2020, kita mampu alih air tercemar ke laut tanpa menjejaskan LRA, sementara bekalan diambil dari HORAS. Alhamdulillah, 95 peratus masalah henti tugas dan gangguan dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Gotong-Royong Komuniti AYER sempena Hari Alam Sekitar Malaysia di Puchong, hari ini.

Susulan kejayaan mengurus sumber air dengan lebih mampan, Amirudin berkata Kerajaan Negeri kini menumpukan usaha mengatasi masalah banjir demi memastikan kesejahteraan penduduk dan keselamatan prasarana negeri terjamin.
Menurutnya, pelaksanaan pelbagai projek tebatan dan kerja naik taraf saliran berjaya mengurangkan kawasan titik panas banjir kilat di seluruh Selangor.
“Projek atasi banjir ini besar dan memerlukan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Saya akan sediakan laporan berhubung perkara ini dan keluarkannya nanti,” katanya.




