Oleh Siti Alimah
Saya rasa suaminya sudah mati. Sudah lima atau enam bulan saya tidak melihat susuk lelaki kurus tinggi, berkulit gelap, berbibir hitam dan berkumis nipis itu. Walaupun saya bukan jiran yang peramah, tetapi saya tetap membalas senyum, salam atau khabar jiran-jiran yang menyapa termasuk suaminya. Sesekali saya yang memulai bicara ala kadar bagi menghidupkan watak pokok yang masing-masing terpacak di perkarangan rumah berbatas pagar dawai. Paling ringkas memetik isu yang tidak pernah selesai di taman kami.
“Tiga hari sudah mati air,” saya memulas kepala paip konon-konon mahu menyiram pokok bunga pada pagi minggu.
“Iya bah, bayar rumah mahal-mahal tapi ndak ada air,” balas lelaki itu sambil bermain-main kepulan asap rokoknya tanpa memandang saya. Jawapan klise yang bukan sahaja dia ungkapkan, malah rata-rata penghuni taman ini selain rungutan, “gerbang taman saja gah tapi tiada air.”
Sebelum kematiannya, saya perasan isterinya selalu menangis. Sewaktu membuang sampah, menjemur pakaian dan menyapu laman yang berselerak dengan sisa-sisa puntung rokok suaminya. Walaupun tangisannya tidak berbunyi, saya lihat bahunya turun naik, matanya merah berair serta mukanya basah. Kadang-kadang dia menyeka air mata dengan tudungnya. Apakah waktu itu suaminya sudah didiagnosis penyakit berat? Kemungkinan sukar sembuh dan cuma menunggu detik pemergiannya? Tentu saja wanita itu resah bagaimana harus mengurus tiga orang anak, dua lelaki seorang perempuan itu yang masih kecil tanpa suaminya.
Untuk bertanya, “Kenapa kakak menangis?” oh tidak mungkin. Saya tidak sesenang itu. Biarlah saya dengan kebarangkalian. Ketika itu juga saya sudah jarang menemui suaminya pada siang hari. Setidak-tidaknya keluar bekerja kerana sebelumnya kami sering bertembung saat serentak memanaskan enjin kereta. Mereka sekeluarga bergerak bersama dengan kereta dipandu suaminya.
Saya hanya melihat lelaki berkeriting halus itu pada tengah malam. Itupun kerana saya dibangunkan oleh salakan anjing liar seiring derum kereta. Saya mengintainya melalui tingkap. Dia keluar dari kereta dengan langkah tidak normal. Oh, tentu sakitnya sudah melarat! Selepas itu saya langsung tidak melihat lelaki itu siang atau malam.
Lebih menguatkan tekaan saya bahawa suaminya sudah mati, wanita yang selalu menangis itu lebih kerap menangis. Mata sepetnya bertambah sepet. Tubuhnya pula semakin mengecil, wajahnya cengkung. Apakah dia dijangkiti penyakit suaminya? Setiap pagi wanita ini yang memandu untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah sebelum ke tempat kerja. Dia bekerja di hospital. Saya tahu kerana dia memakai uniform jururawat. Melalui pakaian juga, saya tahu seorang anaknya dihantar ke tadika dan dua lagi di sekolah rendah. Petang dia kembali bersama anak-anak tanpa suami.
Dia juga yang mengangkut air sewaktu lori datang mengagih bekalan pada hari kemuncak kemarahan penduduk taman akibat kematian air dalam jangka panjang. Beberapa kali dia keluar masuk rumah dengan baldi. Kebasahannya bercampur keringat. Sewaktu hujan lebat, dia juga yang tergesa-gesa menadah bekas bagi menakung air hujan. Mengheret sampah yang agak berat untuk dimasukkan ke tong di luar pagar. Bersendirian ke pasar dengan tangan kiri dan kanannya membimbit beg plastik. Semua dilakukannya tanpa suami, sambil menangis.
Ada waktu dia menyapu laman yang dikotori sisa puntung rokok suaminya. Suatu yang pelik, suaminya sudah mati tapi puntung rokoknya setiap masa tetap ada. Kepulan asap tembakaunya juga selalu berlingkar-lingkar di udara. Walaupun saya di dalam rumah, saya dapat menghidu bau rokoknya yang kuat. Benarkah suaminya sudah mati? Kalau belum, kenapa isterinya saja yang bersusah payah mengatur itu ini. Kalau benar sudah mati, kenapa puntung rokoknya masih ada? Tidak mungkin isterinya menghisap rokok, saya tidak pernah melihat jari wanita itu menyepit rokok atau mulutnya dimuncungi rokok.
Satu hari wanita itu mengajak saya untuk mengunjungi dan mengikuti akaun TikToknya. Walaupun dia berbicara sambil menangis, saya masih memahami bahasa sedu sedannya. Saya sedari ada tompokan lebam pada wajah dan tangannya. Penyakit apa yang dia hidapi? Berat mulut saya untuk bertanya.
“Kakak buat affiliate. Tambah pendapatan.” Kematian suami bermakna dia perlu menanggung semua perbelanjaan rumah dan anak-anak. Meski bergaji tetap, kos hidup yang tinggi memaksanya untuk mencari dana sampingan.
Dalam grup taman di WhatsApps, wanita ini turut membuat pengumuman tentang akaun perniagaannya. Dia menyertakan pautan akaunnya untuk dilawati dan di hujung permintaannya itu tampil satu wajah mengalirkan air mata tanpa hidung serta rambut. Pautannya kemudian disambut dengan tempelan ibu jari oleh rakan-rakan setaman.
Usai Isyak dan makan malam, saya bersantai-santai di TikTok. Wajah jiran saya itu muncul dengan siaran langsung mempromosi barangan dapur. Dengan tergagap-gagap dia juga menangis. Saya kagum dengan keberaniannya di hadapan kamera walaupun masih baharu. Mungkin kerana air mata, ramai yang memandang sekali gus membeli. Saya turut terpengaruh.
Balik dari pejabat, saya mengutip satu bungkusan sesat di rumah saya. Penghantar tersalah alamat yang sepatutnya ke rumah wanita kematian suami itu. Baru saya sedar, selama dua tahun menyewa rumah ini dan berjiran dengannya, baru saya tahu nama sebenarnya. Sebelum ini saya cuma memanggilnya kakak.
Melihat kereta dan pagarnya terbuka, sudah tentu dia berada di rumah. Saya melangkah masuk ke perkarangan rumahnya. Sisa puntung rokok bertaburan di laman. Saya memberi salam sambil mengetuk pintu. Selepas salam kedua, suara wanita yang kedengaran lemah menyahut dari dalam. Alangkah terkejutnya saya sewaktu pintu dibuka, wanita itu muncul dengan dahi berdarah. Seperti baru terluka, darahnya meleleh menuruni wajahnya yang bertompok lebam. Lalu cepat-cepat disekanya. Tetapi, dalam kesakitan itu tidak pula dia menangis seperti selalu.
“Kakak jatuh?” saya menebak. Kali ini saya cuba untuk ambil tahu. Dia menggeleng. Saya serahkan bungkusannya. Disambutnya lemah.
“Kakak baru telefon polis. Kakak ndak sanggup sudah dipukul,” suaranya bergetar. Sekali lagi saya terperanjat. Wanita ini bercerita, sejak suaminya terjebak dengan perjudian dalam talian, prestasi kerjanya merosot. Tidak cukup dalam talian, dia keluar waktu malam ke rumah judi. Balik dalam keadaan mabuk dan tidak ke pejabat. Akhirnya dibuang kerja. Suaminya berubah perangai. Kekalahan menjadikannya panas baran. Apatah lagi ketiadaan wang. Habis duit simpanan wanita ini diambilnya. Kalau isterinya enggan, pukulan akan singgah.
Ternyata wanita ini nekad meleraikan kemelut dan kerana itu air matanya sudah kering. Kedengaran siren polis semakin lama semakin jelas. Terdengar juga suara lelaki merengek meminta maaf dari dalam rumahnya. Sesal yang tidak diampunkan lagi. Benarlah tanggapan saya, bahawa suaminya sudah mati. Peranan dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah kepada anak-anaknya sudah mati. Mengingatkan kematian air di rumah kami.




