ad

Selangor pantau rapat perkembangan bencana banjir di Perak

24 Okt 2025, 9:48 AM
Selangor pantau rapat perkembangan bencana banjir di Perak

SHAH ALAM, 24 OKT: Kerajaan Negeri memantau rapat perkembangan bencana banjir yang menjejaskan beberapa daerah di Perak susulan hujan lebat semalam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya yakin Kerajaan Persekutuan sedang mempergiat usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

“Setakat ini, saya difahamkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kementerian berkaitan sedang menguruskan bantuan secara berperingkat.

“Kita akan lihat keperluan untuk memberi sokongan tambahan kerana fokus Kerajaan Negeri kini tertumpu kepada kesiapsiagaan di Selangor yang turut berisiko dilanda bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan Skuad Pengurusan Bencana Negeri sempena pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025 di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Amirudin turut memaklumkan pelarasan dana bantuan bagi kejadian ribut puting beliung sebelum ini berjalan lancar, menunjukkan kesiapsiagaan negeri berada pada tahap memuaskan.

Setakat pagi tadi, seramai 2,171 mangsa banjir daripada 759 keluarga masih ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Manjung serta Larut, Matang dan Selama (LMS).

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, tiga PPS dibuka di Manjung manakala 19 PPS beroperasi di daerah LMS.