SHAH ALAM, 24 OKT: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjenamakan semula skim perlindungan keselamatan sosial kepada ‘LINDUNG’.
Ketua Eksekutifnya Dato' Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata ia sebagai langkah strategik bagi memperkukuh peranan dalam melindungi rakyat secara menyeluruh.
“Sebenarnya kita ada empat akta (dalam skim ini) kalau kita nyatakan mungkin orang kurang faham. Jadi dengan penjenamaan ‘i LINDUNG u’ ia lebih segar, inklusif, mudah diingati dan berimpak tinggi bagi menyampaikan mesej perlindungan sosial secara meluas dan berkesan.
“Di bawah penjenamaan ini, Akta 4 dikenali sebagai Lindung Pekerja; Akta 800 sebagai Lindung Kerjaya; Akta 789 sebagai Lindung Kendiri dan Akta 838 sebagai Lindung Kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi walkabout di Festival Mega i LINDUNG U 2025 di pekarangan Stadium Shah Alam di sini hari ini.
Festival yang berlangsung hari ini sehingga Ahad itu menyasarkan kehadiran 70,000 pengunjung dengan pelbagai acara menarik diadakan dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Dr Mohammed Azman menyeru orang ramai memeriahkan festival berkenaan dan berpeluang mendapat hadiah menarik keseluruhan bernilai RM20,000 termasuk tablet dan basikal.
“Kami mengajak semua lapisan masyarakat terutama warga Lembah Klang hadir dan bersama menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan untuk seisi keluarga merangkumi sesi borak santai bersama aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad, perkongsian kesihatan serta saringan barah percuma,” katanya.
Turut disediakan gerai jualan usahawan komuniti serta Konsert i LINDUNG U yang menampilkan artis popular seperti Drama Band, Kartika, Kristal X dan Sofazr.
Turut menjadi tumpuan dalam festival itu ialah Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs yang menawarkan hampir 1,000 peluang pekerjaan dengan gaji sehingga RM10,000 daripada syarikat terkemuka termasuk DRB-Hicom Auto Solutions, Watsons dan Top Glove Corporation Berhad.








