SHAH ALAM, 24 OKT: Polis menemukan lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi dewasa dalam operasi khas bulan lalu.
Ketua polis negara berkata jumlah itu meningkat lebih 20 kali ganda berbanding operasi sama Disember tahun lalu, yang merekodkan 40,000 fail digital, lapor Berita Harian.
Menurut Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, rampasan itu meliputi 82 peranti digital termasuk komputer, telefon, modem dan storan digital hasil serbuan di 37 lokasi seluruh negara.
Tambahnya, sebanyak 29 kertas siasatan dibuka termasuk Seksyen 8 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
"Sebanyak 15 kertas siasatan sudah mendapat arahan tuduh membabitkan 17 suspek," katanya.
Sementara itu, katanya, enam kanak-kanak dan remaja antara 31 individu ditahan dalam operasi membanteras kegiatan itu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Mohd Khalid berkata sebanyak 31 tangkapan dibuat merangkumi 25 sasaran utama dan enam tangkapan susulan, membabitkan 30 warga tempatan serta seorang warga asing.
"Mereka merangkumi individu berusia antara 12 hingga 71 tahun daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, guru, jurutera, pereka grafik dan penganggur," katanya.
Dalam pada itu, katanya, seramai 17 suspek didakwa di mahkamah antara 24 September hingga 10 Oktober lalu, manakala 14 lagi dibebaskan dengan jaminan.
"Daripada jumlah itu, 15 individu mengaku salah dan dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM10,000, manakala dua lagi memilih dibicarakan," katanya.
Jelasnya, siasatan mendapati suspek mengakses dan memuat turun bahan lucah kanak-kanak melalui aplikasi media sosial seperti Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr dan laman gelap.
Suspek juga dikesan menawarkan akses berbayar kepada bahan berkenaan menerusi transaksi e-dompet dan kod QR.




