ad

Kereta langgar lembu, bayi 11 bulan maut dalam pangkuan ibu

24 Okt 2025, 2:33 AM
Kereta langgar lembu, bayi 11 bulan maut dalam pangkuan ibu

BERA, 24 OKT: Bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas kereta dinaiki bersama keluarga terbabas akibat merempuh sekumpulan lembu di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bera Superintendan Zulkiflee Nazir berkata dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Bandar 32 akibat kecederaan di kepala.

“Siasatan mendapati kereta Perodua Bezza dipandu bapa mangsa berusia 22 tahun bersama isteri berusia 21 tahun dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju Kerayong untuk membeli susu anak mereka.

“Ketika tiba di lokasi, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan lalu melanggar haiwan berkenaan sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zulkiflee, bayi berkenaan yang berada dalam pangkuan ibunya ketika kejadian tidak tercampak keluar namun mengalami kecederaan.

Katanya, dua daripada tiga ekor lembu yang dirempuh mati di tempat kejadian manakala seekor lagi cedera.

Polis bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bera turut melaksanakan operasi menangani masalah lembu dan kerbau berkeliaran di jalan raya pada malam sama, namun insiden berlaku lebih awal sebelum operasi bermula.