SEREMBAN, 27 MEI: Bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia selepas ditemukan terlangkup dalam sebuah baldi berisi air di halaman belakang sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.22 malam.
“Ketika kejadian mangsa dijaga neneknya bermula 9 pagi sementara ibu bapanya keluar bekerja. Kira-kira 2.30 petang, mangsa tidur di dalam buaian sementara neneknya memasak dan menjemur pakaian sebelum wanita itu menyedari bayi berkenaan tiada dalam buaian.
“Hasil pencarian mendapati mangsa ditemukan berada dalam keadaan terlangkup di dalam sebuah baldi yang mengandungi sedikit air sabun dengan kepala berada di bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bayi itu kemudian dibawa ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja'afar dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang.
Beliau berkata bedah siasat dijalankan pada awal pagi tadi namun punca kematian masih belum diperolehi kerana menunggu keputusan ujian makmal.
Mohd Yatim berkata susulan itu, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 54 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Sinniah Rajoo di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan.







