ad

MAKSAK Games 2025 perkukuh budaya kerja cergas dan produktif penjawat awam

23 Okt 2025, 3:01 PM
MAKSAK Games 2025 perkukuh budaya kerja cergas dan produktif penjawat awam
MAKSAK Games 2025 perkukuh budaya kerja cergas dan produktif penjawat awam

SHAH ALAM, 23 OKT: Penganjuran Kejohanan Futsal Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) atau MAKSAK Games 2025 menzahirkan komitmen kerajaan untuk melahirkan anggota perkhidmatan awam yang cergas, sihat dan produktif.

Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata dalam mendepani era maklumat dan tuntutan kerja serba pantas, penjawat awam perlu memiliki tahap kecergasan fizikal yang baik bagi memastikan kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan.

“Penganjuran acara sukan ini mencerminkan iltizam perkhidmatan awam untuk melahirkan penjawat yang cergas, sihat dan produktif sekali gus memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi.

“Pegawai yang cergas secara fizikal juga lebih tajam pemikirannya, mampu membuat keputusan tepat dan bertindak dengan berkesan,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua MAKSAK Selangor berucap merasmikan kejohanan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.

Sebanyak 17 badan gabungan MAKSAK dengan penyertaan 550 atlet dan pegawai mengambil bahagian dalam kejohanan futsal yang bermula hari ini hingga Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata zaman penjawat awam yang hanya menunggu arahan pihak atasan sudah berlalu, sebaliknya mereka kini perlu lebih proaktif dan peka terhadap keperluan masyarakat.

“Rakyat mahu melihat pegawai yang tidak menunggu masalah besar baru bertindak, sebaliknya mendahului cabaran dengan tindakan pantas dan berkesan,” ujarnya.

Beliau menambah, budaya kerja moden dalam perkhidmatan awam perlu dibina atas asas keseronokan bekerja dan suasana harmoni, disokong aktiviti riadah, kebajikan serta sosial bagi memperkukuh kesejahteraan mental dan fizikal warga kerja.

“Pendekatan ini selari dengan Garis Panduan Pembudayaan Keseronokan Bekerja Sektor Awam yang diperkenalkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menggalakkan keseimbangan antara produktiviti dan kesihatan emosi penjawat awam.

“Saya melihat MAKSAK sebagai wadah memperkukuh jaringan antara jabatan dan negeri, selain menyemai semangat kesihatan serta kesejahteraan dalam kalangan penjawat awam,” katanya.

Tambah beliau, kejohanan seperti ini turut mendidik nilai integriti, ketelusan dan semangat berpasukan yang wajar diterapkan dalam perkhidmatan awam.

Kejohanan Futsal MAKSAK Games 2025 berlangsung di tiga lokasi iaitu Sportiza Batu 3, Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) dan Kompleks Rakan Muda, Puchong.