SHAH ALAM, 23 OKT: Dua buruh maut selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah pangsapuri dalam pembinaan, minggu lalu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, kejadian berlaku jam 2 petang di Petaling Jaya pada 18 Oktober lalu membabitkan dua lelaki warga asing.
"Siasatan awal di lokasi mendapati kedua-dua mangsa ditugaskan membuat pemasangan 'aluminium lourve panel' di koridor tingkat 14.
"Mereka jatuh dari tingkat 14 ke tingkat 11. Mangsa pertama maut di lokasi manakala mangsa kedua di Hospital Sungai Buloh," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sehubungan itu JKKP Selangor mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu di lokasi kepada majikan untuk menghentikan serta-merta kerja di tempat tinggi di tapak pembinaan sehingga siasatan selesai.
"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak bertanggungjawab di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.