ad

Sidang Kemuncak Asean: Menteri Luar Laos antara delegasi terawal tiba

22 Okt 2025, 2:51 PM
Sidang Kemuncak Asean: Menteri Luar Laos antara delegasi terawal tiba

SEPANG, 22 OKT: Menteri Luar Laos Thongsavanh Phomvihane merupakan antara delegasi negara anggota Asean terawal tiba di Malaysia menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Beliau bersama isterinya, Vadsana Phomvihane, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 8.25 malam ini.

Terdahulu, timbalannya, Phongsavanh Sisoulath, tiba pada pukul 7.50 malam.

Antara ketibaan awal lain ialah Setiausaha Negara Kemboja Kung Phoak yang tiba pada pukul 2 petang, serta Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Ekonomi Asean (AEC) Satvinder Singh, pada pukul 7.45 malam.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Asean Timor-Leste Milena Rangel tiba pada pukul 7.35 malam, manakala Setiausaha Tetap Brunei Johariah Wahab tiba pada pukul 8.25 malam.

Malaysia yang merupakan Pengerusi Asean tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menganjurkan Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt.

Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin daripada 10 negara anggota Asean bersama rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan India.

Acara berkenaan dijangka menjadi perhimpunan Asean terbesar sejak penubuhannya pada 1976, dengan kehadiran pemimpin dunia termasuk Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.