PUTRAJAYA, 22 OKT: Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kini berada di peringkat akhir.
Ketua Setiausaha HARAPAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata selain itu, rundingan antara HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) pula telah selesai sepenuhnya.
“Saya boleh sahkan pembahagian kerusi HARAPAN dan BN telah selesai. HARAPAN dan GRS kini di peringkat hujung dan sebagai Ketua Setiausaha HARAPAN yang diberi tanggungjawab itu, saya akan memuktamadkan dalam masa terdekat.
“Minggu lepas saya berada di Kota Kinabalu untuk mengadakan rundingan. Biasalah, rundingan tidak berakhir dengan hanya satu pusingan. Bila selesai nanti saya akan maklumkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, dengan tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.
Mengulas kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRN itu, Saifuddin Nasution menyifatkannya sebagai andaian awal yang belum wajar dibuat.
“Premature untuk saya andaikan perkara itu. Kalau dalam sidang media hari ini saya sebut akan ada tiga penjuru, tak cantiklah,” katanya.