SHAH ALAM, 22 OKT: Kerajaan Negeri melancarkan Konferensi Pendidikan Madani Selangor bagi merangka polisi memperkasakan ekosistem pendidikan negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau menjelaskan, selain pelaksanaan dasar baharu, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada isu keselamatan di sekolah yang kini menjadi perhatian masyarakat.

“Ia akan melibatkan lebih ramai pihak bagi kita melihat isu pendidikan dengan lebih komprensif termasuk sama ada pengisian pendidikan sehinggalah isu keselamatan dan juga perkara-perkara lain.
“Ini dilancarkan susulan selepas forum Reformasi Pendidikan, dan selepas ini akan libatkan beberapa lagi kumpulan tertentu sampailah kita berjaya mencipta beberapa polisi dan program yang mampu memperkasakan ekosistem pendidikan dalam Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini : Punya Arah atau Hilang Arah? anjuran Kerajaan Selangor di Pustaka Raja Tun Uda di sini, hari ini.

Forum tersebut dikendalikan Ketua Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi, dengan penyertaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid, serta Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang.
Turut hadir, Mantan Presiden Majlis Belia Malaysia, Senator Dr Jufitri Joha, dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dato’ Dr Md Amin Md Taff.
Forum berkenaan menjadikan Selangor negeri pertama menganjurkan perbincangan melibatkan pelbagai pakar bagi meneliti cabaran dan hala tuju sistem pendidikan masa kini.
Program itu turut disertai pensyarah serta mahasiswa daripada pelbagai institusi pendidikan termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hadir memeriahkan sesi tersebut.