SHAH ALAM, 22 OKT: Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dalam longkang di Bandar Country Homes, semalam, dipercayai terjatuh ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya untuk beraya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 73 tahun itu keluar dari rumahnya sekitar jam 1 tengah hari kelmarin untuk berkunjung ke rumah seorang rakan.
“Mangsa ada memaklumkan kepada adiknya bahawa dia mahu ke rumah rakan untuk beraya, namun pada keesokan harinya sekitar jam 9 pagi, adiknya gagal menghubunginya.
“Dia kemudian berusaha mencari di rumah rakan dan kawasan sekitar, tetapi tidak menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebelum mayatnya ditemui orang awam kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Hospital Sungai Buloh sebelum mayatnya dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” jelasnya.
Noor Ariffin turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Terdahulu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengangkat mayat mangsa yang ditemukan dalam longkang sedalam 1.2 meter.