SHAH ALAM, 23 OKT: Tatkala suhu di Syria bakal menjunam hingga paras beku, rakyat Malaysia tidak melupakan nasib mereka yang terus bergelut meneruskan kehidupan di tanah bergolak itu.
Menerusi inisiatif 'Warm Their Winter', dua kontena bantuan berisi pakaian tebal dan keperluan asas bakal digerakkan ke negara berkenaan bagi membantu lebih 30,000 penduduk menghadapi cuaca dingin melampau tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, misi kemanusiaan itu mencatat sejarah apabila bantuan kali ini dihantar terus ke Pelabuhan Latakia, Syria tanpa perlu melalui negara perantara seperti Turkiye atau Lubnan.
“Ini antara misi paling signifikan sejak program ini dijalankan 13 tahun lalu. Ia membuktikan kepercayaan dan keikhlasan rakyat Malaysia terus sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Program pengumpulan bermula hari ini hingga Ahad di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam dengan penglibatan lebih 830 sukarelawan daripada institusi pengajian tinggi, pusat tahfiz dan pertubuhan masyarakat yang berganding bahu menyusun serta membungkus sumbangan.
Menurut beliau, sebanyak 1,600 kotak pakaian termasuk jaket, baju kanak-kanak, selimut dan kasut musim sejuk akan diedarkan kepada keluarga di kawasan paling terkesan akibat peperangan.
“Musim sejuk di Syria bukan seperti di Cameron Highlands. Suhunya boleh mencecah paras beku. Tanpa pakaian mencukupi, mereka berisiko menghadapi hipotermia dan kematian,” ujarnya.
Selain bantuan pakaian, Syria Care turut melaksanakan projek 'Roof for Syria' bagi membaik pulih rumah, masjid dan sekolah yang musnah akibat peperangan, sekali gus membantu penduduk membina semula kehidupan di tanah air sendiri.

“Apa yang kita hulurkan bukan sekadar mengosongkan almari, tetapi menyelamatkan nyawa.
“Kami menggalakkan orang ramai bukan hanya menyumbang pakaian, tetapi juga menyalurkan dana kepada Tabung Kontena Syria Care agar misi ini dapat diteruskan,” katanya.
Dua kontena bantuan dijadualkan berlepas dari Pelabuhan Klang pada 27 Oktober dan dijangka mengambil masa sekitar 50 hari perjalanan sebelum tiba di Latakia.
“Apa yang kita hulurkan ini bukan sekadar baju, tetapi tanda kasih dan solidariti rakyat Malaysia terhadap saudara di bumi Syam.
“Semoga bantuan ini menjadi sumber kekuatan buat mereka yang sedang bangkit daripada derita peperangan,” katanya menutup bicara.









