ad

Beberapa sungai di Selangor lepasi paras bahaya, ribut petir diramal berterusan pagi ini

22 Okt 2025, 12:07 AM
Beberapa sungai di Selangor lepasi paras bahaya, ribut petir diramal berterusan pagi ini

SHAH ALAM, 22 OKT: Beberapa sungai utama di Selangor dilaporkan melepasi paras bahaya pagi ini susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi.

Menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam mencatatkan bacaan 2.52 meter, melebihi tahap bahaya 2.3 meter dengan trend meningkat setakat jam 7.30 pagi.

Sementara itu, Sungai Klang di Bandar Klang turut menunjukkan paras 3.37 meter, iaitu 0.37 meter melebihi tahap bahaya, dengan trend air juga dilaporkan meningkat pada jam 7.15 pagi.

Di Hulu Langat, paras air Sungai Langat di Batu 12 pula berada pada tahap 41.83 meter, melebihi paras waspada 41.4 meter, turut menunjukkan trend meningkat.

Dalam masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan terus melanda beberapa daerah di Selangor termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang sehingga jam 9 pagi hari ini.

Orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap risiko banjir kilat serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku pemindahan sementara di kawasan berisiko.