ISTANBUL, 21 OKT: Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Selasa memaklumkan bahawa hanya 986 trak membawa bantuan kemanusiaan berjaya memasuki Semenanjung Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa, jauh lebih rendah daripada jumlah yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut pejabat itu, sebanyak 6,600 trak sepatutnya memasuki Gaza menjelang malam Isnin.
Purata trak bantuan yang memasuki Gaza sejak gencatan senjata dikuatkuasakan tidak melebihi 89 sehari daripada 600 lori yang dijanjikan setiap hari, menurut kenyataan berkenaan.
“Keadaan ini mencerminkan kesinambungan dasar pendudukan Israel yang menekan dan menzalimi rakyat melalui sekatan, kelaparan dan pemerasan kemanusiaan terhadap lebih 2.4 juta penduduk Gaza,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, hanya 14 trak membawa gas memasak dan 28 lori membawa bahan api solar dibenarkan masuk bagi operasi kedai roti, hospital, penjana kuasa serta perkhidmatan penting lain.
Kerajaan Gaza menegaskan bahawa jumlah itu masih jauh daripada keperluan sebenar penduduk yang “amat memerlukan kemasukan segera dan berterusan sekurang-kurangnya 600 trak bantuan setiap hari, merangkumi bekalan makanan, perubatan, bahan bantuan, bahan api operasi dan gas memasak bagi menjamin keperluan asas hidup yang bermaruah.”
Perjanjian gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Okt berdasarkan pelan berperingkat yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Fasa pertamanya melibatkan pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin.
Pelan itu turut merangkumi usaha membangunkan semula Gaza dan penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penglibatan Hamas.
Sejak Oktober 2023, perang genosid Israel mengorbankan lebih 68,200 orang dan mencederakan lebih 170,200 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.