ad

Sidang Kemuncak Asean: Polis perketat kawalan, 10,000 anggota ditugaskan

21 Okt 2025, 8:56 AM
Sidang Kemuncak Asean: Polis perketat kawalan, 10,000 anggota ditugaskan
Sidang Kemuncak Asean: Polis perketat kawalan, 10,000 anggota ditugaskan
Sidang Kemuncak Asean: Polis perketat kawalan, 10,000 anggota ditugaskan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan terhadap sebarang kemungkinan ancaman ekstremisme dan pengganas yang mungkin cuba mengambil kesempatan semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47 berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata selain ancaman keselamatan siber, potensi tunjuk perasaan tidak terkawal serta pengurusan trafik di sekitar lokasi utama persidangan turut dikenal pasti sebagai antara cabaran utama sepanjang sidang berprestij itu.

“Bagi menghadapi cabaran tersebut, langkah-langkah proaktif telah diambil termasuk risikan awal, pemantauan berterusan serta penempatan pasukan tindakan khas di lokasi strategik.

“Sebanyak 10,170 pegawai dan anggota PDRM telah digerakkan bagi melaksanakan penugasan keselamatan sepanjang acara berprestij itu berlangsung,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini berhubung kesiapsiagaan pasukan keselamatan menghadapi persidangan yang dihadiri ramai pemimpin utama dunia itu.

Mohd Khalid berkata penugasan berkenaan turut melibatkan penggunaan pelbagai aset darat dan udara termasuk dron pemantauan, kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi dan sistem komunikasi taktikal bersepadu.

Beliau berkata pada masa sama, PDRM turut menggunakan pendekatan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi di lapangan.

Selain lokasi utama persidangan dan hotel penginapan rasmi delegasi, kawalan keselamatan juga meliputi semua pintu masuk utama negara termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat.

“Kawasan strategik di sekitar Lembah Klang seperti Putrajaya turut berada di bawah pemantauan rapi dan semua kontinjen PDRM telah diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada pihak cuba menganjurkan perhimpunan di ibu kota sehingga mengganggu ketenteraman awam, trafik dan perjalanan Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Beliau berkata pihaknya mendapat maklumat awal mengenai perancangan untuk mengadakan beberapa perhimpunan di ibu kota, namun memberi jaminan PDRM akan menguruskan perkara itu dengan baik.

“Pesanan saya kepada masyarakat di luar sana, jangan buat gangguan terhadap majlis (Sidang Asean), laluan ke majlis dan yang paling penting, jangan ganggu ketenteraman awam.

“Jika terdapat pelanggaran terhadap perkara ini, ia akan dianggap sebagai jenayah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fadil turut menggesa masyarakat agar bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang sidang berlangsung kerana ia menjadi tumpuan dunia yang mahu melihat persembahan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini.

Sidang Kemuncak Asean ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober dengan penyertaan pemimpin tertinggi 10 negara anggota Asean serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.