SHAH ALAM, 21 OKT: Orang ramai dijemput memeriahkan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025 peringkat Selangor yang bakal diadakan pada 7 dan 8 November depan.
Berlangsung di Dataran Malawati, Kuala Selangor, pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang dua hari sambutan itu, termasuk Jualan Ehsan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Selain itu, pengunjung berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma, merangkumi pemeriksaan fizikal, darah, urin, kanser, mata, gigi dan pemeriksaan lain, bagi memupuk kesedaran terhadap gaya hidup sihat.
Bagi penggemar sukan, program berkenaan turut menampilkan Kuala Selangor Half Marathon, permainan sukan rakyat serta petting zoo yang menyeronokkan khusus untuk kanak-kanak.

Sambutan ini juga akan diwarnai dengan kehadiran kaunter bergerak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) untuk memberi khidmat maklumat kepada pengunjung.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual merasmikan sambutan HPBS 2025, sekali gus menandakan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan perancangan bandar lestari dan kesejahteraan komuniti.