ad

Fiesta Makanan Halal Asean didik generasi muda hargai budaya serantau

20 Okt 2025, 12:47 PM
Fiesta Makanan Halal Asean didik generasi muda hargai budaya serantau
Fiesta Makanan Halal Asean didik generasi muda hargai budaya serantau
Fiesta Makanan Halal Asean didik generasi muda hargai budaya serantau
Fiesta Makanan Halal Asean didik generasi muda hargai budaya serantau
Fiesta Makanan Halal Asean didik generasi muda hargai budaya serantau

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Penganjuran Fiesta Makanan Halal Asean bukan sekadar memperkenal keunikan cita rasa serantau, malah menjadi medium pendidikan sosial khususnya kepada generasi muda dalam memahami kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat Asean.

Pengurus projek Ryan Lim berkata selain dapat menikmati pelbagai hidangan istimewa dari 30 gerai makanan dari Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam, pengunjung khususnya kanak-kanak turut didedahkan dengan aktiviti interaktif dan nilai pembelajaran berasaskan budaya.

Pengurus Projek Fiesta Makanan Halal Asean Ryan Lim. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Bukan sahaja makanan, tetapi turut dipamerkan budaya negara masing-masing. Seperti hari ini, kita bawa tarian piring dari Selangor untuk dipersembahkan kepada pengunjung.

“Kita juga menganjurkan beberapa aktiviti khas untuk kanak-kanak seperti memasak bagi memberi pendedahan kepada mereka,” katanya kepada Media Selangor.

Berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa sempena Festival Taman Kuala Lumpur, festa 10 hari sejak 17 Oktober lalu diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak Asean 2025, sebagai usaha memperkukuh semangat serantau melalui pendidikan tidak formal berasaskan seni kulinari dan warisan budaya.

Acara lain yang turut menjadi tarikan termasuk Mistikal Titiwangsa serta KL Genta: Festival Gendang dan Tarian, yang berperanan mendidik masyarakat tentang kekayaan seni tradisional rantau ini.

Kanak-kanak mengikuti aktiviti memasak ketika Fiesta Makanan Halal Asean sempena Festival Taman Kuala Lumpur di Taman Tasik Titiwangsa pada 20 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif menjelaskan penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur bukan sahaja bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan kelestarian bandar, tetapi juga sebagai platform pembelajaran komuniti yang menggalakkan pemahaman budaya, inovasi hijau dan nilai serantau.

Pengunjung didedahkan dengan tarian piring dari Selangor ketika Fiesta Makanan Halal Asean sempena Festival Taman Kuala Lumpur 2025 di Taman Tasik Titiwangsa pada 20 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR