ad

Polis mohon sambung reman pelajar kes tikam rakan sekolah

20 Okt 2025, 12:19 PM
Polis mohon sambung reman pelajar kes tikam rakan sekolah
Polis mohon sambung reman pelajar kes tikam rakan sekolah
Polis mohon sambung reman pelajar kes tikam rakan sekolah

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Polis akan memohon untuk melanjutkan reman pelajar lelaki bagi membantu siasatan kes pelajar perempuan berumur 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata remaja berusia 14 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk tujuan itu setelah tempoh remannya berakhir esok.

“Seramai 148 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Rabu ini untuk arahan lanjut.

Rabu lalu, Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha mengeluarkan perintah agar suspek yang juga pelajar di sekolah sama dengan mangsa ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 14 Oktober lalu, pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di sekolah itu selepas disyaki ditikam berulang kali oleh suspek.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher.

- BERNAMA