SHAH ALAM, 20 OKT: Peruntukan pendidikan dan kebajikan bagi kaum India serta Orang Asli harap dapat ditingkatkan menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2026 nanti.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata pendidikan amat penting dan perlu dititikberatkan bagi memastikan pelajar tidak tercicir.
Jelas Papparaidu tambahan peruntukan juga diharap dapat membantu pelajar terutama kaum India dan Orang Asli untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.
“Kita harap ada tambahan bantuan kepada pelajar yang layak, khususnya daripada kaum India, Orang Asli dan golongan berpendapatan rendah, bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Deepavali anjurannya di Kompleks Perumahan EXCO, Seksyen 7 di sini hari ini.
Pada masa sama, Papparaidu turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kerana menekankan aspek pendidikan dan kebajikan rakyat.
“Saya berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kerana sentiasa menekankan pendidikan dan kebajikan rakyat.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut memperkukuh kerjasama melalui program Sejahtera Madani untuk membantu golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Belanjawan Selangor 2026 dijadual dibentangkan pada 14 November depan.