SHAH ALAM, 19 OKT: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah mengadakan pertemuan dengan pengurusan KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung isu membabitkan lori sampah milik syarikat itu.
Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pertemuan bersama APAD itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak menjelaskan situasi dan mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.
"Saya telah didatangi APAD ke pejabat dan telah berbincang hampir separuh hari, malah saya juga terangkan (keadaan yang berlaku) dan kita sama-sama cari jalan penyelesaian," lapor Sinar Harian.
Ramli berkata, dua hari selepas pertemuan itu, pasukan audit Kod Tata Amalan Industri (ICOP) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut hadir ke pejabat KDEBWM untuk melakukan semakan serta temubual bersama pengurusan syarikat.
“Saya telah ditemu bual dan berikan kenyataan penuh kepada pihak JPJ dan dimaklumkan akan dipanggil oleh Ketua Pengarah JPJ pada 21 Oktober ini untuk memberi penjelasan lanjut," katanya.
Tegas Ramli, KDEBWM mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan sedang memperketat semula prosedur dan kawalan dalaman melibatkan pengendalian lori sampah di seluruh Selangor.
"Kami telah mengenal pasti punca kelemahan, memberi amaran keras kepada vendor yang gagal mematuhi tatakelola kerja serta mengambil tindakan termasuk penggantungan atau penamatan kontrak," katanya.
Menurut Ramli, model perniagaan KDEBWM berbeza dengan konsesi lain kerana semua aset lori dibeli atas nama KDEBWM walaupun dikendalikan vendor pihak ketiga.
"Oleh itu, setiap tanggungjawab tetap di bawah KDEBWM dan kami sudah ada SLA (perjanjian perkhidmatan) yang jelas dengan vendor termasuk kawalan terhadap lesen pemandu, penyelenggaraan kenderaan dan pematuhan keselamatan,” katanya.
Tambah Ramli, pihaknya juga sedang memperkukuh pemantauan berkala, memastikan semua pemandu memiliki lesen kenderaan barangan (GDL) sah serta menambah baik piawaian operasi bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
"Saya mohon maaf atas apa yang berlaku dan mengambil tanggungjawab penuh. KDEBWM akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kecekapan operasi sentiasa terjamin,” katanya.
Pada 15 Oktober lalu media melaporkan, JPJ akan memanggil pengurusan KDEBWM dalam masa terdekat berhubung isu membabitkan lori sampah milik syarikat terbabit.