SHAH ALAM, 19 OKT: Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah berkenan memberi penghormatan terakhir kepada pelajar 16 tahun yang maut dalam insiden tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, 14 Oktober lalu.
Tengku Zatashah menerusi laman Instagram menitip rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa atas insiden itu.
“Kata-kata tidak dapat menggambarkan kesedihan yang saya rasakan terhadap keluarga itu.
“Ketika kami berbicara dan saya memeluk si ibu, kami saling berpegangan tangan, dia menunjukkan kepada saya gambar anak perempuannya yang ceria, yang telah pergi terlalu awal.
“Kekuatan dan keberanian ibu bapa melalui masa sukar ini tidak dapat dibayangkan. Hanya sedikit kata-kata sokongan yang mampu saya sampaikan, namun ibu bapa itu berkata ‘kami faham’,” titah anakanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Dalam kejadian pada 14 Oktober lalu, negara dikejutkan dengan laporan kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, yang dipercayai ditikam beberapa kali oleh rakan sekolahnya, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.