ad

Sukan SEA 2025: Malaysia berdepan Vietnam, Laos dalam Kumpulan B

19 Okt 2025, 9:28 AM
Sukan SEA 2025: Malaysia berdepan Vietnam, Laos dalam Kumpulan B
Sukan SEA 2025: Malaysia berdepan Vietnam, Laos dalam Kumpulan B
Sukan SEA 2025: Malaysia berdepan Vietnam, Laos dalam Kumpulan B
Sukan SEA 2025: Malaysia berdepan Vietnam, Laos dalam Kumpulan B

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara dijangka menghadapi ujian getir menentang Vietnam selepas ditempatkan dalam Kumpulan B bersama Laos bagi temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, yang berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.

Menurut Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA, kejohanan bola sepak lelaki akan disertai 10 negara, dengan peringkat kumpulan dibahagikan kepada tiga kumpulan – dua kumpulan masing-masing tiga pasukan dan satu kumpulan empat pasukan.

Di bawah bimbingan Nafuzi Zain, Harimau Muda dijangka berdepan ujian getir menentang Vietnam dalam usaha mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan, manakala Laos juga dilihat berpotensi mencipta kejutan.

Tuah tuan rumah, Thailand ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Kemboja dan Timor-Leste, manakala Kumpulan C pula terdiri daripada Indonesia, Myanmar, Filipina dan Singapura.

Pasukan yang menduduki tempat teratas setiap kumpulan serta pasukan kedua terbaik akan layak ke separuh akhir.

Perlawanan Kumpulan A yang membabitkan Thailand akan diadakan di Stadium Tinsulanon, Songkhla, manakala perlawanan Kumpulan B dan C dijadualkan di Stadium Ulang Tahun ke-700, Chiang Mai.

Separuh akhir dan perlawanan akhir pula akan berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok.

Untuk rekod, pada edisi 2023 di Kemboja, Malaysia gagal melangkah melepasi peringkat kumpulan selepas hanya menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi sebelumnya di Vietnam pada 2021.

Pasukan bola sepak lelaki kebangsaan terakhir memenangi emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, manakala pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur merupakan penampilan terakhir Malaysia di podium kejohanan itu.

Sementara itu, pasukan bola sepak wanita kebangsaan ditempatkan dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Myanmar dan Filipina, manakala Kumpulan A terdiri daripada Thailand, Kemboja, Singapura dan Indonesia.

Dalam kejohanan futsal, pasukan lelaki kebangsaan akan bersaing menentang Thailand, Indonesia, Vietnam dan Myanmar secara round-robin, manakala pasukan wanita ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Thailand dan Filipina.

- BERNAMA