SHAH ALAM, 19 OKT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot penumpang yang membawa lebih muatan termasuk seorang warga asing tanpa dokumen pengenalan diri sah, petang semalam.
Pengarah Maritim Selangor berkata bot dengan muatan 91 penumpang melebihi syarat lesen iaitu 80 penumpang, ditahan pada kedudukan 0.24 batu nautika barat daya Tanjung Harapan oleh kapal Maritim yang sedang melaksanakan rondaan Op Ehsan, Op Tiris dan Op Murni di perairan Selangor.
Menurut Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, kira-kira jam 2.50 petang, pasukan Maritim memeriksa sebuah bot yang sarat dengan penumpang dari Jeti Awan, Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam, dikendali dua warga tempatan berusia 27 dan 24 tahun yang bertindak sebagai nakhoda dan kru.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen operasi mendapati bot berkenaan melanggar syarat lesen dengan membawa lebihan penumpang serta menggunakan alat pemadam api tamat tempoh.
“Selain itu, penumpang lelaki warga Myanmar berusia 41 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen operasi, manakala penumpang warga asing itu disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bot, dua kru dan penumpang warga asing berkenaan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, pengusaha bot penumpang perlu mematuhi semua syarat keselamatan dan peraturan operasi bagi mengelak tindakan undang-undang serta keselamatan penumpang sentiasa terjamin.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuai dan mengabaikan keselamatan awam di laut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insidenkecemasan di laut boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.