ad

Ophelia

19 Okt 2025, 12:30 AM
Ophelia

Oleh Mahizan Husain

Aku tidak pernah tahu yang aku boleh menulis sebegitu konsisten sehinggalah aku menemui catatanku di sobekan-sobekan kertas, di bucu-bucu buku, di sampul surat, di resit, di bil utiliti, di tisu restoran, di beg kertas pasar raya, di wang satu ringgit, di surat doktor dan surat cerai.

Sungguh. Aku tidak tahu aku boleh menulis begitu banyak sehinggalah aku membaca semula tulisanku itu.

Sejak tahu aku banyak menulis, aku mulai rajin menulis. Aku menulis lebih panjang. Mula-mula satu muka surat, dua muka surat, tiga muka surat, kemudian melarat bersurat-surat muka surat.

Mula-mula aku menulis pada waktu siang sahaja iaitu pada pada waktu subuh. Waktu subuh bagiku ialah waktu paling menyenangkan untuk menulis. Bukan sahaja kerana waktu subuh biasanya sunyi tetapi kerana subuh ialah waktu paling murni seolah-olah dunia baru terjadi.

Lama-kelamaan aku mulai cemus menulis di waktu subuh. Waktu subuh membuatkan aku rasa seperti aku ada musuh. Kesunyian selalu datang dengan langkah bagaikan pembunuh. Menulis pada waktu subuh selalu membuat hati dan fikiranku riuh bergaduh.

Aku pun menukar waktu menulis selepas makan tengah hari. Menulis selepas makan dengan perut kenyang sering membuat aku terkantuk-kantuk. Ada kalanya aku menulis dengan mata terkatup.

Sekali lagi aku menukar waktu menulisku pada waktu dinihari. Waktu dinihari ialah ruang sunyi yang menyimpan satu keasingan yang aku sendiri tidak fahami. Rasa alienasi itu memberikan satu kesyahduan yang seakan duka tetapi bahagia. Satu rasa seperti aku memiliki seseorang tetapi dia tidak pernah datang. Lebih tepat, rasa itu seperti kerinduan sebuah dermaga tua kepada ombak yang enggan berdansa.

Bila aku makin malas menulis di kertas, aku mula menulis di dinding bilik. Mula-mula aku menulis sedikit, kemudian satu dinding penuh aku tulis. Bila dinding bilik sudah penuh kutulis, aku menulis pula di dinding ruang tamu. Aku menulis berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan. Sehinggalah satu petang, aku dapati aku telah menulis di seluruh dinding ruang tamu.

Itu pun aku rasa belum cukup. Aku perlu menulis lagi. Aku perlu menulis lebih banyak lagi. Aku perlu lebih tekun menulis. Bukan sekadar di dinding bilik dan di ruang tamu. Aku menulis juga di kerusi, meja makan, almari dan rak buku. Itu juga aku rasa masih belum cukup.

Lalu, aku sambung menulis di dinding dapur. Selepas bangun tidur pagi itu, aku baru perasan yang aku sudah menulis di seluruh dinding rumahku hingga ke siling. Aku menulis di siling dengan menggunakan tangga. Malah di kipas siling dan lampu-lampu pun aku tulis. Menulis di siling membuat leherku sakit. Aku terpaksa memakai pendakap leher atas nasihat doktor.

“Apakah dengan memakai pendakap leher ini, saya boleh menulis lebih lama, maksud saya berhari-hari tanpa henti?” tanyaku kepada doktor.

“Jangan menulis lagi sehingga awak betul-betul sihat.” Doktor memberi nasihat sambil memakaikan pendakap ke leherku seperti memakaikan perisai hikmat untuk melindungi aku daripada kuasa jahat.

Nasihat doktor itu aku kesampingkan. Nasihat itu tidak bertepatan dengan apa yang ada di dalam kepalaku. Jika aku tidak menulis, di dalam kepalaku seperti ada bunyi deru pesawat yang bising. Aku perlu menghentikan bunyi bising itu dengan menulis.

Aku masih juga belum berpuas hati menulis di seluruh dinding rumah dan peralatan rumah. Aku mengambil keputusan untuk menulis di jalan. Aku menulis di jejantas, laluan pejalan kaki dan dinding perhentian bas. Orang-orang yang lalu lalang sama sekali tidak melarang aku menulis di tempat-tempat awam. Mereka langsung tidak menghiraukan aku. Mereka membiarkan aku menulis sesuka hatiku. Mereka seakan memahami tujuanku dan membenarkan aku menulis di mana-mana sahaja.

Aku makin serius menulis di jalan-jalan. Siang aku menulis. Malam aku menulis. Kadang-kadang dalam hujan pun aku menulis walaupun tulisanku dipadamkan oleh hujan. Hujan akan memukul-mukul belakangku, memukul-mukul bahuku, menampar-nampar mukaku ketika aku menulis. Hujan seperti mahu mengusir dan tidak membenarkan aku menulis di jalan. Derap-derap kaki hujan yang marah akan mengikut aku pulang sampai ke rumah.

Satu hari, aku dapati seorang gadis sedang membaca tulisanku di jalan sambil menangis. Nama gadis itu Ophelia.

Aku kenal Ophelia tiga tahun lalu. Dia muncul dalam hidupku begitu sahaja seolah-olah dia sememangnya dihantar untukku. Kami kerap duduk minum di sebuah kafe kecil yang selalu lengang tidak jauh dari pelabuhan. Ada ketikanya hanya kami berdua sahaja pelanggan di kafe itu. Kadang-kadang dia duduk di meja paling hujung dan aku duduk di tepi dinding mengadap pelabuhan. Kadang-kadang dia duduk di tengah ruang dan aku duduk di meja paling hujung sehinggalah akhirnya kami duduk semeja.

Sejak bercerai, tidak ada perempuan yang kulihat lebih cantik daripada bekas isteriku. Setelah kami sering duduk semeja, aku dapati Ophelia lebih cantik daripada bekas isteriku. Itu membuatkan aku rasa menyesal tidak mengenalinya lebih lama.

Aku dan Ophelia selalu bersembang tentang sejarah ideologi dunia.

“Ideologi yang gagal pun masih dipuja-puja orang,” kataku kepada Ophelia sebelum dia menghilang. Aku tidak pernah menemuinya lagi selepas itu sehinggalah aku melihatnya menangis membaca tulisanku di tepi jalan.

“Kenapa kau menangis?” Aku hairan.

Ophelia diam sejurus dan kemudian menjawab, “Aku tak faham kenapa kau tulis semua ini. Itu yang membuatkan aku menangis.”

Itulah pertama kali aku melihat orang menangis kerana tidak faham dengan apa yang dibacanya.

“Kau tak perlu faham. Tak semua benda dalam dunia ini kita perlu faham,” kataku seakan memujuk.

“Kau perlukan pertolongan. Pergilah dapatkan pertolongan,” balasnya dengan mata sedih.

“Kenapa aku mesti ditolong?” tanyaku bingung.

“Siapa Ophelia?” Ophelia bertanya tanpa menjawab pertanyaanku.

Aku amat-amati tulisanku di belakang Ophelia. Rupa-rupanya yang kutulis sekian lama ialah nama Ophelia.

Ketika aku menatap hujan yang sedang membuat persembahan tarian lemah gemalai di luar jendela, aku baru teringat perempuan yang aku panggil Ophelia itu sebenarnya ialah bekas isteriku. Kami berkenalan di sebuah kafe kecil tidak jauh dari pelabuhan. Sejak kami bercerai, banyak perkara jadi jungkir balik dalam ingatanku. Semua kenangan jadi tidak tersusun. Ada perkara lalu yang aku ingat sebagai masa kini. Ada perkara masa kini yang aku rasakan sudah lama berlalu.

Satu hal lagi, aku tidak tahu kenapa aku gagal mengecam bekas isteriku selepas kami bercerai. Aku juga tidak tahu kenapa dia nampak lebih cantik selepas kami bercerai.

Sudah tentu Ophelia bukan nama bekas isteriku.

Jika aku tidak kenal mana-mana perempuan bernama bernama Ophelia, kenapa aku menulis nama Ophelia? Itu yang aku tidak faham dan cuba faham.

Aku renung tablet Olanzapine yang terdampar di atas lantai, tidak kumakan. Aku rasa aku perlu keluar untuk menulis di jalan. Kali ini mungkin aku tulis nama orang lain pula.