SHAH ALAM, 17 OKT: Industri sukan berpotensi besar menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi baharu Selangor, seiring hasrat Kerajaan Negeri membangunkan ekosistem sukan yang lebih tersusun, berdaya saing dan berimpak tinggi.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pentadbiran negeri melihat sektor sukan bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya rantaian ekonomi strategik yang mampu menjana peluang pekerjaan, pelaburan dan pembangunan industri.

“Industri sukan antara bidang yang sedang diteroka di Selangor. Walaupun isu ini sudah lama dibincangkan, namun belum ada kerangka jelas bagi memperkukuh ekosistem industri sukan.
“Insya-Allah, kita telah berbincang dengan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk menjadikan pembangunan industri sukan sebagai salah satu teras dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Ekspo Industri Sukan Asean (ASIE) 2025 anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Pusat Konvensyen Setia City, di sini hari ini.

Mohd Najwan turut merakamkan penghargaan kepada KBS atas penganjuran ekspo julung kali itu yang disifatkan sebagai platform penting memperkukuh jaringan strategik antara pemain industri, pemegang taruh dan kerajaan negeri.
“Ekspo ini membuka ruang kepada semua pihak menilai potensi industri sukan sebagai teras ekonomi baharu, bukan sekadar aktiviti berbentuk riadah,” katanya.
Ekspo yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan platform perdagangan dan jaringan industri sukan terbesar di Asia Tenggara, berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober.

ASIE menghimpunkan pelbagai pemain utama sektor sukan meliputi fasiliti, akademi, peruncitan, teknologi, kesihatan dan e-sukan, dengan matlamat memperkukuh kerjasama serantau serta membuka peluang pelaburan baharu.
Acara tersebut turut menampilkan forum industri, sesi padanan perniagaan dan pameran inovasi sukan terkini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembangunan industri sukan Asean.




