ad

Bangun industri sukan secara holistik, jana ekonomi dan cipta peluang kerja

6 Ogos 2025, 9:51 AM
Bangun industri sukan secara holistik, jana ekonomi dan cipta peluang kerja
Bangun industri sukan secara holistik, jana ekonomi dan cipta peluang kerja
Bangun industri sukan secara holistik, jana ekonomi dan cipta peluang kerja
Bangun industri sukan secara holistik, jana ekonomi dan cipta peluang kerja

SHAH ALAM, 6 OGOS: Industri sukan perlu dibangunkan secara menyeluruh, bukan sekadar tertumpu kepada usaha melahirkan atlet berprestasi tinggi sebaliknya mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ekosistem industri sukan negara ketika ini masih belum lengkap, antaranya disebabkan ketiadaan institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus pengurusan sukan secara komprehensif merangkumi pelbagai aspek penting.

Berdasarkan penglibatannya dalam sektor sukan Selangor antara 2008 hingga 2018, beliau mendapati pembangunan industri berkenaan masih tidak seimbang walaupun beberapa acara sukan berjaya menembusi pentas antarabangsa.

Ahli Parlimen Gombak Dato' Seri Amirudin Shari membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sukan merupakan sektor yang menyatukan masyarakat melalui kejayaan dalam kejohanan atau kemunculan individu yang mengharumkan nama negara.

"Namun, kebanggaan ini lebih bermakna sekiranya kita dapat membangunkan industri secara lebih berkesan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Dato’ Menteri Besar Selangor itu, struktur industri sukan sukar dibangunkan sekiranya hanya tertumpu kepada aspek pembangunan bakat dan penyertaan di peringkat antarabangsa tanpa sokongan ekosistem yang tersusun.

“Mengapa atlet kita perlu berlatih di luar negara? Pemain tenis ke Amerika Syarikat, sukan bermotor ke Sepanyol, manakala badminton kekal di Malaysia kerana di sini ada sistem dan kejohanan yang menyokong perkembangan mereka.

“Ini menunjukkan pentingnya persekitaran dan infrastruktur yang lengkap untuk membina industri sukan yang mampan,” katanya lagi.

Tambah beliau, pendekatan holistik dalam pembangunan sukan seperti yang pernah dilakukan menerusi kejohanan Purple League telah membantu mencungkil bakat baharu dalam arena badminton.

“Begitu juga sepak takraw yang berjaya kerana ekosistemnya dibangunkan secara tersusun. Saya percaya sukan bukan hanya berkaitan bakat dan pingat semata-mata, tetapi bagaimana ia boleh mencipta nilai ekonomi, membina masa depan belia dan memberi harapan baharu,” katanya.

Untuk rekod, Amirudin pernah memegang portfolio EXCO Belia dan Sukan Selangor selama dua penggal sejak 2008 hingga 2018 sebelum dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor pada 19 Jun 2018 menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.