ad

Tanah pertanian Gaza musnah, harga makanan naik mendadak akibat serangan Israel

17 Okt 2025, 9:13 AM

ISTANBUL, 17 OKT: Hampir semua tanah pertanian di Semenanjung Gaza musnah atau tidak dapat diakses selepas dua tahun serangan genosid Israel, menyebabkan keluarga kehilangan sumber pendapatan dan harga makanan melonjak ke paras yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Jumaat.

“Satu kilogram tomato yang dahulunya berharga 60 sen kini berharga US$15 - jika masih ada dijual," menurut agensi itu dalam satu kenyataan di platform X.

Pertubuhan itu berkata keluarga yang dahulunya bergantung kepada sektor pertanian “kini tidak lagi mempunyai pendapatan” dan walaupun sebahagian bekalan makanan mula kembali dijual di pasaran, “orang ramai tidak mampu membelinya.”

“Sehingga sektor pertanian Gaza dapat dibina semula, mesti ada aliran bantuan tanpa sekatan,” menurut UNRWA.

Pejabat Media Kerajaan Gaza dalam kenyataan pada Khamis berkata sejumlah 653 trak bantuan telah dibenarkan memasuki wilayah itu sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata itu mula dilaksanakan berdasarkan pelan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menamatkan perang Israel dan membina semula wilayah Palestin itu.

Di bawah perjanjian itu, sebanyak 600 trak bantuan kemanusiaan sepatutnya memasuki Gaza setiap hari, termasuk trak yang membawa bahan api dan gas memasak.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah membunuh hampir 68,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan menyebabkan sebahagian besar wilayah itu tidak lagi boleh didiami.