PETALING JAYA, 17 OKT: Penganjuran Festival Kopi Selangor (SelCoff) 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad dijangka menjana nilai transaksi jualan sehingga RM4 juta, sekali gus melonjakkan pertumbuhan industri kopi tempatan dan memberi limpahan ekonomi kepada usahawan negeri ini.
Rakan strategik SelCoff Mohd Adly Rizal memberitahu festival julung kali itu bukan sekadar ruang perniagaan, malah menjadi medan penting dalam membentuk ekosistem industri gastronomi pelancongan di Selangor.

“Festival ini bukan hanya menjana pendapatan peserta, sebaliknya turut membantu usahawan kopi untuk berkembang dan mempromosi kafe serta jenama masing-masing.
“Tahun ini, kita turut menerima penyertaan peserta antarabangsa yang akan mengukuhkan lagi rangkaian hubungan antara pengusaha tempatan dan global. Melalui SelCoff, biji kopi tempatan berpotensi menembusi pasaran luar negara,” katanya ketika ditemui pada festival berkenaan hari ini.
Mohd Adly menambah, penganjuran SelCoff bukan medan persaingan semata-mata, sebaliknya ruang perkongsian ilmu dan pengalaman yang dapat memperkukuh industri kopi negara.
“Kita boleh sama-sama belajar dan mengembangkan produk masing-masing. Matlamatnya bukan untuk bersaing, tetapi membina komuniti kopi yang kuat dan mampan,” ujarnya.
Selain jualan pelbagai jenis kopi tempatan dan antarabangsa, festival tersebut turut menampilkan pameran kopi, pertandingan barista, bengkel, forum industri serta persembahan artis popular seperti Aizat Amdan, Bunga Isme dan Tam Spider.

Acara kemuncak festival ialah Kejohanan Barista ASEAN (Asean Barista Championship) yang disertai wakil beberapa negara Asia Tenggara pada esok dan lusa.
SelCoff turut menyediakan gelanggang pickleball sebagai usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan pengunjung.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi menjayakan Festival Kopi Selangor, sebagai langkah menjadikan negeri ini antara pemain utama dalam industri kopi serantau.








