PETALING JAYA, 17 OKT: Festival Kopi Selangor (SelCoff) yang julung kali diadakan menjadi platform memperkenalkan negeri ini sebagai hab kopi dan destinasi pelancongan gaya hidup utama negara.
Pengurus Jabatan Acara dan Pelancongan Fokus Tourism Selangor, Faroul Mustaffa berkata festival bermula hari ini hingga Ahad di The Curve, Damansara juga memenuhi keperluan sosial, memandangkan kopi telah menjadi gaya hidup terutama dalam kalangan golongan muda.
“Elemen gaya hidup orang muda menjadikan kopi sebagai pilihan menyebabkan program ini diadakan. Minum kopi dah jadi seperti budaya. Sebelum pergi kerja, perlukan kopi, Nak berehat pun cari kopi.
“Jadi kita nampak industri ini memainkan peranan besar. Bukan hanya libatkan peniaga tetapi ekosistem lebih luas termasuk pembekal biji kopi, pembekal mesin dan sebagainya. Kita harap program diteruskan tahun depan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung kerana lokasi penganjuran yang strategik dan menjadi pilihan ramai.

Mengulas lanjut, Faroul berkata seramai 30 peniaga kopi termasuk pengusaha dari Indonesia dan Vietnam menyertainya dan keadaan ini membolehkan pelanggan menikmati lebih banyak pilihan.
Lebih menarik, Faroul berkata SelCoff juga turut menampikan usahawan terkenal setiap daerah di Selangor sekali gus menjadi medan untuk produk tempatan berkembang lebih luas.
“Program ini menghimpunkan semua usahawan kopi di Selangor melibatkan semua sembilan daerah. Contohnya kita bawakan pemilik Chongkok Kopitiam yang terkenal di Klang serta pengusaha Kopi KKK dari Kuala Langat.
“Dalam masa sama program ini secara tidak langsung menyokong Tahun Melawat Selangor 2025 yang menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong. Setakat hari ini kita di landasan tepat,” katanya.
Selain jualan kopi, SelCoff turut menganjur beberapa acara menarik termasuk pameran kopi, pertandingan barista, bengkel dan forum industri selain menampilkan persembahan artis popular, Aizat Amdan, Bunga Isme dan Tam Spider.
Asean Barista Championship yang turut melibatkan wakil beberapa negara Asia Tenggara pada Sabtu dan Ahad akan menjadi acara kemuncak. Festival bawah gastronomi pelancongan turut menyediakan gelanggang pickleball sebagai usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif.
Dalam belanjawan tahun ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membolehkan Festival Kopi Selangor dianjur, yang bertujuan mengorak langkah sebagai pemain dalam dunia kopi.








