ad

Kes tikam pelajar: Beri ruang polis siasat, Selangor umum bantuan sokongan esok - MB

16 Okt 2025, 11:23 AM
Kes tikam pelajar: Beri ruang polis siasat,  Selangor umum bantuan sokongan esok - MB

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri menyeru masyarakat agar memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes pembunuhan tragik membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran negeri turut sedia menawarkan bantuan psikologi kepada keluarga mangsa serta bentuk sokongan lain yang akan diperincikan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) esok.

“Biar polis ambil masa untuk siasat. Kita pun akan cuba beri ruangan kepada keluarga. Kalau perlukan sokongan psikologi pun kita boleh bantu. Ini antara perkara susulan.

"Dalam MMKN kita akan bincang apa yang boleh dibuat dan langkah jangka panjang, terutama selepas peristiwa ini berlaku di sekolah yang mungkin juga boleh berlaku di tempat lain,” katanya kepada pemberita.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bergambar bersama pelajar selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan ketika Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Negeri Selangor Tahun 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shahpada 16 Oktober 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Selangor 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Amirudin turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusan Nirvana Memorial Park yang menawarkan kemudahan percuma bagi urusan persemadian mangsa sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga terbabit.

“Kita ucap terima kasih kepada Nirvana Memorial yang menyediakan perkhidmatan percuma untuk pengebumian mangsa. Hasil hubungan kita dengan Nirvana dan pihak keluarga terbabit,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Selasa lalu, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dilaporkan menikam seorang pelajar perempuan tingkatan empat di tandas sekolah berkenaan.

Suspek kini direman tujuh hari sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Upacara penghormatan terakhir diadakan di Nirvana Center Kuala Lumpur, Jalan Dewan Bahasa, Bukit Seputeh mulai hari ini hingga Isnin, manakala upacara sembahyang terakhir dijadual pada pagi Isnin sebelum mendiang disemadikan di Nirvana Crematorium, Shah Alam.