SHAH ALAM, 17 OKT: Majikan yang didapati mengambil jalan pintas dengan menggaji PATI tanpa melalui proses sah bakal berdepan tindakan tegas termasuk denda maksimum RM50,000, penjara setahun serta boleh disenarai hitam.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata perbuatan menggaji PATI adalah kesalahan serius di bawah Akta Imigresen 1999/63, selain memberi kesan ekonomi kepada negara.
“Masih ada majikan yang menggaji PATI tanpa melalui proses seperti mendapatkan permit kerja atau membayar levi.
“Majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara 12 bulan atau sebatan bagi kesalahan berulang.
"Selain itu, mereka juga boleh disenarai hitam daripada mengambil pekerja asing sah pada masa hadapan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Dalam tempoh 7 bulan, 31,287 PATI dan 1,225 majikan telah ditahan atas dakwaan menggaji atau melindungi PATI.
Selangor rekod 660,000 pekerja asing sah, majoriti sektor pembinaan
Mengulas jumlah tenaga kerja asing di negeri ini, beliau berkata Selangor merekodkan kira-kira 660,000 pekerja asing sah, bersamaan 30 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja asing di Malaysia.
Daripada jumlah itu, majoriti tenaga kerja asing di negeri ini tertumpu dalam sektor pembinaan (216,000 orang), perkilangan (206,000 orang), diikuti sektor perkhidmatan dan pembantu rumah.
“Selangor merupakan negeri maju yang banyak menempatkan kilang pembuatan, selain aktiviti pembinaan yang rancak. Dua sektor ini menyerap hampir dua pertiga daripada keseluruhan pekerja asing di negeri ini,” katanya lagi.

Tambah Khairrul, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan (DOSM), Malaysia merekodkan 2.1 juta pekerja asing sah setakat Ogos 2025.
Ujarnya, jumlah itu mewakili pemegang pas lawatan kerja sah yang dibenarkan berkhidmat dalam pelbagai sektor ekonomi.
“Daripada jumlah itu, 38 peratus adalah warga Bangladesh, diikuti Indonesia (25 peratus) dan Nepal (16 peratus)."
"Tiga negara sumber ini sahaja menyumbang hampir dua juta pekerja,” jelasnya.
Kerjasama erat imigresen, polis dan PBT rancak operasi PATI
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) kini dilaksanakan dengan lebih tersusun melalui kerjasama rapat antara Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kalau dahulu kami turun operasi secara berasingan, kini setiap tindakan disertai agensi lain supaya lebih menyeluruh dan berkesan."
"Misalnya, PBT mempunyai kuasa terhadap lesen premis, manakala Imigresen pula boleh menahan warga asing tanpa permit,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendekatan itu memastikan operasi penguatkuasaan lebih cekap selain mengelak pertindihan kuasa antara agensi.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai melaporkan sebarang aktiviti menggaji atau melindungi PATI kepada Jabatan Imigresen Malaysia melalui saluran rasmi yang disediakan.