ad

Ribut: Kerajaan Negeri sedia salur bantuan susulan, perincian diumum esok

16 Okt 2025, 10:09 AM
Ribut: Kerajaan Negeri sedia salur bantuan susulan, perincian diumum esok
Ribut: Kerajaan Negeri sedia salur bantuan susulan, perincian diumum esok
Ribut: Kerajaan Negeri sedia salur bantuan susulan, perincian diumum esok
Ribut: Kerajaan Negeri sedia salur bantuan susulan, perincian diumum esok
Ribut: Kerajaan Negeri sedia salur bantuan susulan, perincian diumum esok

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri bersedia menyalurkan bantuan susulan bagi menampung kos baik pulih rumah penduduk yang terjejas teruk akibat kejadian ribut di Sijangkang, Kuala Langat, semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, perincian mengenai bantuan tersebut serta anggaran kerugian dialami penduduk akan diumumkan esok.

Menurutnya, sebelum ini setiap rumah menerima sumbangan RM500 bawah Tabung Bencana Negeri, namun jumlah kerugian kali ini dijangka lebih besar.

“(Untuk) mangsa, kita sudah ada peruntukan bawah tabung bencana sebanyak RM500 setiap rumah, tetapi saya rasa nilainya lebih. Nanti kita tengok apa sokongan lain yang boleh kita berikan.

“Kerana kali ini kesannya sangat buruk. Pengalaman kita sebelum ini, kita bantu untuk ganti bumbung dan sebagainya. Itu memang ada bantuan yang pernah dibuat pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Selangor 2025 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini hari ini.

Menurut Amirudin, ribut di Sijangkang antara kejadian paling buruk pernah berlaku di Selangor sejak beliau menerajui pentadbiran negeri pada 2018.

“Berhati-hati, elakkan aktiviti luar terutamanya ketika hujan. Pastikan anak-anak (berada) di tempat selamat, Hubungi pihak berkuasa jika berlaku kecemasan. Kita sedia membantu,” katanya.

Terdahulu, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan awal berjumlah RM400,000 bagi membaik pulih sekolah serta rumah penduduk yang terjejas akibat ribut kuat di Sijangkang dan Meru, Klang.

Peruntukan itu diagihkan kepada enam sekolah terjejas, manakala RM100,000 disalurkan kepada Pusat Khidmat DUN Sijangkang dan RM50,000 kepada DUN Meru bagi kerja baik pulih rumah penduduk.

Semalam, beberapa kawasan di Meru dan Sijangkang dilanda ribut kuat disusuli puting beliung, menyebabkan kerosakan teruk pada kediaman, sekolah dan kenderaan penduduk.

Antara sekolah yang terjejas ialah SMK Sijangkang Jaya, SK Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, serta SRA Kampung Medan.