ad

756 pelajar di Kota Kinabalu sertai Kempen Internet Selamat

16 Okt 2025, 9:37 AM
756 pelajar di Kota Kinabalu sertai Kempen Internet Selamat

SHAH ALAM, 16 OKT: Seramai 756 pelajar Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) di kolej itu hari ini bagi memperkukuh kesedaran terhadap keselamatan siber.

Program anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, bertujuan memupuk penggunaan internet secara beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan pelajar.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Pengetua Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu Suhaibul Kassim.

Program berkenaan menumpukan isu seperti penipuan dalam talian, buli siber, penyebaran maklumat palsu serta keselamatan data peribadi.

"Pelajar turut didedahkan kepada kaedah mengenal pasti risiko siber, memahami taktik manipulasi penipuan, serta menilai ketepatan maklumat sebelum dikongsi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kempen berkenaan mencerminkan usaha MCMC dalam memperkasakan masyarakat digital yang celik teknologi, beretika dan sejahtera di ruang siber.

Setakat Oktober 2025, sebanyak 4,734 institusi pendidikan di seluruh negara sudah menyertai KIS, termasuk 434 dari Sabah.