ad

Dari kota sunyi ke tapak UNESCO

19 Okt 2025, 1:00 AM
Dari kota sunyi ke tapak UNESCO
Dari kota sunyi ke tapak UNESCO
Dari kota sunyi ke tapak UNESCO
Dari kota sunyi ke tapak UNESCO
Dari kota sunyi ke tapak UNESCO
Dari kota sunyi ke tapak UNESCO

Bangunan tua yang berdiri di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Sungai Buloh dilihat terbiar, bagaikan tidak berpenghuni.

Namun, kawasan yang suatu ketika dahulu menampung 2,440 pesakit kusta pada 1952 ini masih menyimpan denyut kehidupan. Ia dihuni puluhan bekas pesakit yang kini bergelar warga emas.

Berkeluasan 562 ekar, PKKN dibuka pada 1930 dengan perancangan teratur melibatkan tiga zon. Zon barat menempatkan kompleks hospital, zon timur jadi ruang pentadbiran termasuk pejabat pos, manakala zon tengah menempatkan kediaman berbentuk ‘chalet’.

Hari ini, mereka yang masih berdikari tinggal di kediaman bersama pasangan, manakala pesakit uzur ditempatkan di wad khas.

Turut wujud di kawasan ini ialah Galeri Lembah Harapan, selain beberapa bangunan yang pernah dijadikan wad rawatan Covid-19 pada 2021.

Tapak bersejarah bertaraf dunia

Penempatan ini pernah menerima pesakit bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga Indonesia, Singapura, India dan England.

Keunikan itu menjadikan PKKN tersenarai dalam senarai tentatif UNESCO pada 17 Februari 2019 melalui pameran HOPE oleh Jabatan Warisan Negara.

“Untuk dijadikan warisan, sesebuah tapak itu perlulah memenuhi sekurang-kurangnya satu nilai sejagat (OUV), tetapi PKKN mempunyai empat nilai,” kata Naib Setiausaha Penempatan Sungai Buloh, Tan Ean Nee dalam satu temu bual eksklusif bersama Media Selangor.

Naib Setiausaha Penempatan Sungai Buloh, Tan Ean Nee

Beliau menjelaskan antara kriteria UNESCO adalah bukti penempatan moden yang berjaya untuk pesakit kusta, persekitaran berbilang kaum dan peranan merawat pesakit antarabangsa.

“PKKN sangat penting kerana mempunyai sistem yang bagus, perancangan bandar dalam taman dan tersusun selain semua warisannya masih kekal, tiada pengubahsuaian,” katanya.

Menurutnya, reka bentuk kediaman dengan banyak tingkap turut menggalakkan interaksi sosial.

“Salah seorang profesor dari Jepun juga mengagumi kerana ia dipelihara dengan baik dan peluang dijadikan tapak warisan sangat tinggi,” jelasnya lagi.

Katanya, biarpun PKKN merupakan penempatan kusta kedua terbesar selepas Filipina, tetapi penempatan di sana sudah membangun dengan pesat dan mula hilang keasliannya.

Harapan penghuni dan masa depan PKKN

Jabatan Warisan Negara kini sedang menyiapkan inventori dan huraian pencalonan rasmi yang dijangka diserahkan pada 2027.

“Cabaran sekarang adalah bagaimana Jabatan Warisan Negara untuk mempercepatkan proses ini yang perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan.

“Jabatan Warisan Negara perlu cepat mungkin jadikan ia sebagai warisan negara terlebih dahulu. Biarpun proses lambat sebab libatkan banyak agensi saya berharap tempat ini terus dipelihara sehingga menjadi warisan dunia,” kata Ean Nee.

Bekas pesakit kusta Laura Chong Yek Lee, bersama suami Wong Swee Lian ketika ditemui Media Selangor di kediaman mereka di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh

Beliau memaklumkan hanya 89 bekas pesakit kusta masih menetap di PKKN, dengan 59 di kediaman dan selebihnya di wad kerana keuzuran.

“Dahulu, orang luar tidak dibenarkan masuk ke penempatan kusta ini, hanya komuniti mereka sahaja yang dibenarkan termasuklah bersekolah dan bekerja.

“Pesakit-pesakit kusta bekerja dan menerima gaji bulanan dalam penempatan ini sebagai pegawai perubatan, polis, kerani, guru, penjaga stor, tukang masak, pemotong rumput dan tukang jahit,” katanya.

Bekas pesakit kusta Laura Chong Yek Lee, bersama suami Wong Swee Lian ketika ditemui Media Selangor di kediaman mereka di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh

Kini, majoriti mereka sudah lanjut usia dan ada yang menghidap penyakit kronik. Namun, bagi yang masih berupaya, kehidupan diteruskan bersama pasangan atau keluarga.

PKKN bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi saksi hidup ketabahan insan-insan yang pernah terasing, kini menjadi wajah harapan agar penempatan ini diiktiraf dunia.

Pada 28 Ogos lalu, EXCO Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah mengumumkan usaha negeri memperkukuh status tapak warisan dengan menyasarkan Kapal Korek Sri Banting di Dengkil dan PKKN Sungai Buloh untuk diiktiraf UNESCO.

Beliau menjelaskan, pengiktirafan tersebut bukan sahaja berupaya melonjakkan tarikan pelancongan warisan negeri tetapi juga mengangkat nilai sejarah penempatan itu ke peringkat antarabangsa.

Malah, kejayaan FRIM Forest Park Selangor (FRIM FPS) mendapat pengiktirafan UNESCO pada Julai lalu menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan PKKN sebagai Tapak Warisan Dunia seterusnya.

Penempatan pesakit kusta di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh
Penempatan pesakit kusta di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh