Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor jadi acara dwitahunan

10 Feb 2026, 12:00 PM
Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor jadi acara dwitahunan

SHAH ALAM, 10 FEB: Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) akan dianjurkan sebagai acara dwitahunan bagi memperkukuh wacana sastera dan budaya di peringkat serantau dan antarabangsa.

Keputusan itu dimuktamadkan menerusi enam resolusi DASA 2026 yang dibacakan oleh Pengarahnya, Khadijah Ishak pada majlis penutup program berkenaan di Universiti Selangor (UNISEL), di sini.

Resolusi pertama menekankan pengukuhan ekosistem sastera dan budaya majmuk melalui jaringan kerjasama antara penggiat, institusi dan organisasi di peringkat Nusantara menerusi program pertukaran, penerbitan dan penganjuran bersama.

Resolusi kedua pula memberi tumpuan kepada pemeliharaan warisan budaya tidak ketara selaras dengan prinsip Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengarah DASA 2026, Khadijah Ishak berucap ketika majlis penutupan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026 di UNISEL, Shah Alam pada 10 Februari 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, resolusi ketiga mengangkat peranan sastera dan budaya sebagai pemangkin pembangunan mampan, kesejahteraan sosial dan ekonomi kreatif sejajar Matlamat Pembangunan Mampan.

Resolusi keempat pula menggariskan keperluan penyelidikan berimpak tinggi, dokumentasi sistematik dan penerbitan ilmiah, termasuk penerbitan dwibahasa dan usaha penterjemahan, di samping pengumpulan manuskrip, artifak serta sastera lisan tamadun Melayu.

Resolusi kelima mencadangkan pewujudan Rumah Sastera dan Budaya sebagai wahana pemikiran persuratan tempatan serta pusat pengembangan wacana sastera dan budaya.

Manakala resolusi keenam menegaskan kepentingan memastikan kesinambungan DASA sebagai acara dwitahunan bagi merancakkan penjanaan idea serta memperluas kerjasama di peringkat global.