ad

PRN Sabah: Tarikh mengundi 29 November, tempoh berkempen 14 hari

16 Okt 2025, 4:29 AM
PRN Sabah: Tarikh mengundi 29 November, tempoh berkempen 14 hari

SHAH ALAM, 16 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 15 November manakala pengundian awal pada 25 November.

“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 15 November 2025 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 28 November 2025 (Jumaat),” katanya menerusi kenyataan media.

Jelas beliau, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN Sabah ke-17 adalah daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan bulan Ogos tahun 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025.

“DPPR bagi PRN Sabah ke-17 ini mengandungi seramai 1,784,843 orang pemilih yang terdiri daripada 1,760,417 orang pengundi biasa, 11,697 orang tentera serta pasangan, dan 12,729 orang polis serta pasangan,” katanya.

Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Waktu operasi Hotline SPR adalah dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari. Semakan boleh dibuat juga mulai 1 November 2025.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah bagi memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17.