KUALA LUMPUR, 15 OKT: Tragedi membabitkan dua remaja baru-baru ini menjadi isyarat kepada semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat dan kerajaan untuk bertindak bersama-sama dalam soal isu sosial remaja manakala sikap menuding jari terhadap mana-mana pihak tidak akan menyelesaikan isu terbabit.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata sifat kasih sayang, keprihatinan dan tindakan bersama daripada semua pihak diperlukan demi melindungi serta membimbing generasi muda.
"Dengan cabaran baharu dihadapi ibu bapa dan kanak-kanak pada hari ini, kami di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak akan berhenti untuk terus berusaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kami, namun kami tidak mampu bergerak sendirian kerana menangani cabaran ini memerlukan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing.
"Selalu kita dengar whole of nation approach (pendekatan menyeluruh negara), whole of government approach (pendekatan menyeluruh kerajaan)... di sinilah kita perlu bersama-sama bukan sahaja memperkukuh dasar dan program tetapi juga menyokong institusi keluarga dan komuniti melalui pendekatan yang lebih empati," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Beliau turut bersetuju dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan peranan media sosial dan keperluan tindakan tegas kerajaan.
Terdahulu, Anwar berkata langkah tegas bagi menangani isu disiplin dan keselamatan di sekolah termasuk pengaruh media sosial dalam kalangan pelajar akan dibincang Jemaah Menteri dalam masa terdekat, memandangkan beberapa insiden yang berlaku di institusi pendidikan kebelakangan ini memerlukan intervensi segera.
Nancy berkata pada masa sama, semua pihak juga perlu mengimbangi ketegasan dengan empati, iaitu memahami punca kepada isu berkenaan termasuk soal disiplin, teknologi, bimbingan, komunikasi dan kasih dalam keluarga serta komuniti sekolah.
"Tragedi yang berlaku membabitkan dua remaja baru-baru ini amat menyedihkan dan membimbangkan, pada usia mereka yang sepatutnya dipenuhi kasih sayang, bimbingan dan juga peluang untuk berkembang, berlaku insiden yang meragut nyawa dan masa depan. Inilah yang menjadi kerisauan kita.
“Kita tidak boleh memandang tragedi ini sebagai kes terpencil. Ia mencerminkan cabaran nilai dan tekanan sosial yang sedang dihadapi oleh anak-anak kita hari ini di rumah, di sekolah dan juga di dunia digital yang tanpa sempadan," katanya.
Ditanya mengenai peranan ibu bapa sebagai benteng utama di rumah untuk membentuk peribadi kanak-kanak, Nancy berkata pembentukan akhlak dan nilai-nilai murni anak bermula di rumah.
Justeru, beliau menyeru ibu bapa untuk menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam membentuk generasi yang berakhlak mulia dan berdisiplin tinggi.
Beliau mengulas mengenai insiden tragis yang menyaksikan seorang pelajar perempuan maut ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Selangor semalam.
Selain itu, sejak akhir-akhir ini beberapa insiden serius membabitkan pelajar sekolah dilaporkan termasuk kes rogol membabitkan empat pelajar lelaki Tingkatan Lima dan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Melaka, yang membawa kepada tindakan buang sekolah serta-merta.