KUANTAN, 15 OKT: Seorang lelaki warga Myanmar maut akibat ditikam, dipercayai oleh dua lelaki di Tringkap, Cameron Highlands pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Supt Azri Ramli berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 11.54 malam hari sama.
“Mangsa berusia 50 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah manakala isterinya cedera di kepala.
“Polis merampas beberapa senjata termasuk dua pisau dan sebatang besi beroda di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azri berkata polis menahan dua rakan senegara mangsa berusia 21 dan 23 tahun pada 12.05 tengah malam tadi, berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Beliau berkata pemeriksaan pasukan forensik menemukan beberapa kesan luka akibat objek tajam pada leher, kepala, dagu, pipi kanan dan bawah telinga kanan mangsa selain luka hirisan sepanjang lima sentimeter pada perut yang menyebabkan usus terkeluar.
“Bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 5.40 petang semalam mendapati punca kematian mangsa akibat luka pada leher yang menyebabkan arteri karotid terputus,” katanya.
Azri berkata dua suspek terlibat direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-- BERNAMA