ad

Latihan, peluang kerjaya bantu veteran ATM hadapi fasa baharu selepas bersara

15 Okt 2025, 6:55 AM
Latihan, peluang kerjaya bantu veteran ATM hadapi fasa baharu selepas bersara
Latihan, peluang kerjaya bantu veteran ATM hadapi fasa baharu selepas bersara
Latihan, peluang kerjaya bantu veteran ATM hadapi fasa baharu selepas bersara

SHAH ALAM, 15 OKT: Kementerian Pertahanan tekad memastikan kebajikan dan pembangunan sosioekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terpelihara menerusi pelbagai inisiatif latihan, pensijilan serta peluang kerjaya kedua.

Timbalan Menterinya Adly Zahari berkata majoriti anggota ATM menamatkan perkhidmatan pada usia sekitar 40 tahun, iaitu fasa masih produktif yang memerlukan persediaan rapi untuk menyesuaikan diri selepas bersara.

“Persediaan bagi anggota yang bakal bersara dilaksanakan satu hingga dua tahun sebelum tamat perkhidmatan. Antara inisiatif utama ialah Work-Based Learning (WBL) yang mengiktiraf pengalaman dan kemahiran anggota melalui pemetaan kerjaya kepada kurikulum akademik,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Adly, selaras dengan Kertas Putih Pertahanan, kementerian turut menumpukan usaha memperkasa modal insan serta meningkatkan sosioekonomi bakal pesara dan veteran ATM melalui latihan serta peluang kerjaya kedua yang dilaksanakan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Beliau berkata kira-kira 5,000 anggota menerima latihan peralihan setiap tahun bagi membantu mereka menyesuaikan diri selepas menamatkan perkhidmatan.

Antara program utama dilaksanakan termasuk Kerjaya Perwira, Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL), Veteran MyWira, Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVAT) serta pensijilan kemahiran seperti green card dan pentauliahan juruteknik bertauliah.

Menjawab soalan tambahan mengenai keutamaan kepada syarikat yang melantik bekas anggota tentera dalam pengurusan dan penyelenggaraan aset kementerian, Adly berkata Kementerian Pertahanan memperluas pelaksanaan Program Protege yang disasarkan kepada industri pertahanan serta sektor lain yang mempunyai kaitan langsung dengan kementerian.

“Melalui kontrak, tender dan pelaksanaan Industry Collaboration Program (ICP), sebahagian peruntukan bajet digunakan untuk membawa veteran ATM ke dalam industri, sekali gus memberi manfaat bersama kepada sektor pertahanan serta tenaga kerja berpengalaman daripada kalangan veteran,” jelasnya.