ad

Nilai wasatiyyah perlu diterap dalam sistem pendidikan, bentuk masyarakat berilmu, berakhlak

15 Okt 2025, 5:42 AM

KLANG, 15 OKT: Nilai wasatiyyah atau kesederhanaan perlu diterapkan dalam sistem pendidikan bagi membendung ancaman ekstremisme yang semakin menular dalam kalangan pelajar dan mahasiswa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata konsep wasatiyyah perlu diamalkan dalam kehidupan seharian termasuk aspek pembelajaran, sosial dan ibadah sekali gus membentuk masyarakat berilmu serta berakhlak.

“Ekstremisme kini menjadi antara cabaran utama. Ia boleh muncul daripada pelbagai arah seperti pengaruh rakan sebaya, media sosial dan bahan bacaan.

“Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk kefahaman dan akhlak seimbang supaya pelajar tidak mudah terpengaruh fahaman melampau atau ideologi yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan Seminar Wasatiyyah 2.0 dan Membendung Ekstremisme Daerah Klang di KSL Esplanade Hotel di sini, hari ini.

Amirudin turut meluahkan kebimbangan terhadap generasi keresahan dalam kalangan pelajar universiti yang berpunca daripada pendedahan algoritma media sosial sehingga membawa kepada kemurungan.

Dalam pada itu, beliau berkata mesej politik yang menyentuh hal keagamaan secara melampau seperti isu syurga dan neraka atau beriman dan tidak beriman hanya akan menimbulkan kerosakan, perpecahan serta fitnah dalam masyarakat.