ad

SKMM gesa padam kandungan kes tikam di sekolah, penyebar berdepan tindakan undang-undang

15 Okt 2025, 2:01 AM
SKMM gesa padam kandungan kes tikam di sekolah, penyebar berdepan tindakan undang-undang

SHAH ALAM, 15 OKT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa orang ramai tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik kandungan berkaitan insiden tragis melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sekolah menengah di Bandar Utama.

Sekiranya kandungan seperti gambar atau video yang memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian telah dimuat naik, SKMM menasihatkan agar ia segera dipadamkan.

Tegas SKMM, penyebaran visual sedemikian bukan sahaja mencabuli privasi dan maruah keluarga terlibat, malah boleh menjejaskan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang dijalankan.

Tambahnya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

SKMM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan yang menimpa.